EKONOMI > BERITA

SEMAKAN DAN NAIK TARAF FTA STRATEGI KRITIKAL, PERKUKUH AGENDA EKONOMI NEGARA

04/02/2026 09:31 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Langkah semakan semula dan rundingan naik taraf perjanjian perdagangan bebas (FTA) merupakan strategi kritikal bagi memastikan kerangka perdagangan Malaysia kekal bersesuaian dalam memacu agenda ekonomi dan sosioekonomi negara.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata proses itu merupakan mekanisme lazim yang termaktub dan dijalankan secara berkala setiap lima tahun selepas penguatkuasaan sesuatu FTA.

"Langkah ini penting bagi memastikan setiap FTA memberikan impak ekonomi yang nyata kepada Malaysia, khususnya dalam bidang-bidang baharu selaras dengan perkembangan geoekonomi semasa.

“Ini termasuk memperkukuh penglibatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dalam rantaian bekalan global, menangani halangan bukan tarif serta mempromosikan agenda kelestarian, keterangkuman dan ekonomi digital,” katanya.

MITI berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan dalam laman sesawang Parlimen, hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai senarai penjanjian FTA yang akan disemak atau dikaji semula dan sejauh mana perjanjian itu tidak memanfaatkan atau merugikan negara.

Sehingga kini, Malaysia melaksanakan sebanyak 17 FTA.

Tambah MITI, daripada jumlah berkenaan, empat dimuktamadkan rundingan naik tarafnya dan ditandatangani iaitu Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) pada Okt, 2025 dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China pada Okt, 2025 (semakan ke-2).

 Selain itu, turut ditandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand pada Ogos, 2023 dan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Türkiye yang ditandatangani pada Sept, 2022.

Manakala tiga FTA lagi sedang disemak semula dan melalui rundingan naik taraf iaitu Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Korea (AKFTA).

Sementara itu, lima FTA di peringkat perancangan atau kajian awal untuk disemak semula.

Kelima-lima FTA berkenaan iaitu Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Pakistan, Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia Australia, Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-New Zealand, Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India dan Perjanjian Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan