EKONOMI > BERITA

MALAYSIA, INDIA AKAN GALAKKAN GUNA MATA WANG RINGGIT-RUPEE DALAM PERDAGANGAN DUA HALA - PM ANWAR

08/02/2026 01:15 PM

PUTRAJAYA, 8 Feb (Bernama) -- Malaysia dan India telah bersetuju untuk mempercepatkan penggunaan ringgit dan rupee dalam perdagangan dan pelaburan dua hala, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata Bank Negara Malaysia dan bank pusat India akan terus bekerjasama rapat untuk menggalakkan penyelesaian mata wang tempatan menggunakan ringgit dan rupee, bertujuan untuk memudahkan urus niaga yang lebih cekap dan kos efektif.

“Begitu juga, (penggunaan mata wang tempatan) dalam ketersambungan digital, tenaga dan semikonduktor,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi, di sini hari ini.

Modi kini lawatan rasmi dua hari, bermula 7 Ferbruari, atas undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai balasan lawatan rasmi perdana menteri ke India pada Ogos, 2024.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perdagangan dua hala Malaysia-India dijangka melepasi AS$18.59 bilion (AS$1 = RM3.94) yang dicapai tahun lepas.

Beliau berkata Malaysia, dalam konteks ASEAN, pastinya akan mendapat manfaat yang besar jika rantau ini dapat memperoleh lebih banyak cara dan peluang untuk bekerjasama dengan India.

Adalah sangat strategik dan kritikal untuk memajukan dan meningkatkan hubungan antara India dan Malaysia, kedua-dua negara mempunyai hubungan yang lama sejak 1957, hubungan berkenaan dipertingkatkan menerusi perkongsian strategik komprehensif pada 2024, katanya.

“Hubungan sejarah yang mendalam, hubungan rakyat dengan rakyat kukuh dan kerjasama ekonomi yang sentiasa berkembang akan terus mempertingkatkan kerjasama dalam semua bidang, perdagangan dan pelaburan, semikonduktor, digital, ekonomi, perdagangan mata wang tempatan, ketersambungan, tenaga, pertanian, keselamatan makanan, pertahanan, pendidikan dan keselamatan,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata kedua-dua negara bersetuju untuk mempercepatkan semakan dan mengoptimumkan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA), memperkukuh kerjasama dalam sektor bernilai tinggi termasuk semikonduktor, perdagangan digital, teknologi hijau dan pembuatan termaju.

“Kami juga mengalu-alukan penubuhan Majlis Digital Malaysia-India (MIDC) dan perbincangan sedang berjalan sekarang mengenai hubungan pembayaran dua hala antara NPCI International Payments Ltd (NIPL) dan PayNet Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia juga meminta pertimbangan India untuk memperluaskan lagi hak trafik udara, termasuk kapasiti tambahan dan akses ke lebih banyak bandar sekunder (bandar di luar wilayah utama), bagi menyokong permintaan yang semakin meningkat untuk pelancongan, perdagangan dan pertukaran rakyat dengan rakyat.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan kemajuan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Gentari di India untuk memperkukuh kerjasama rantaian nilai semikonduktor dan pembangunan bakat.

Eksport Malaysia berjumlah RM52.3 bilion (AS$12.24 bilion) dan import berjumlah RM27.19 bilion (AS$6.35 bilion), dengan item eksport utama terdiri daripada minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, serta produk elektrik dan elektronik, manakala import terutamanya terdiri daripada produk pertanian, petroleum dan kimia.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan