EKONOMI > BERITA

PRODUK TEMPATAN SAN REMO DISAHKAN HALAL, LA PASTA CARBONARA TIDAK DIPASARKAN DI MALAYSIA

09/02/2026 07:37 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Pengeluar pasta dari Australia, San Remo Macaroni Company Pty Ltd (San Remo) menjelaskan semua produk syarikat itu yang diedar di pasaran Malaysia mematuhi piawaian halal ditetapkan.

Menerusi kenyataan hari ini, San Remo memaklumkan produk syarikat berkenaan dijual di pasaran tempatan menerusi pengedar yang dilantik iaitu GBA Corporation Sdn Bhd, yang diperakui halal oleh Islamic Co-ordinating Council of Victoria (ICCV), sebuah badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“ICCV telah menjalankan audit terhadap fasiliti pembuatan San Remo dan didapati beroperasi dengan mematuhi semua keperluan halal. Fasiliti juga bebas daripada sebarang anasir babi,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan JAKIM pada 31 Jan lepas menyatakan bahawa produk La Pasta Carbonara Flavour Pasta and Sauce keluaran San Remo tidak pernah dpersijilkan halal oleh jabatan itu.

Bagaimanapun, menurut San Remo, produk tertentu yang diperkatakan itu tidak dipasarkan, dijual atau diedar di Malaysia melalui saluran pengedar rasmi syarikat itu termasuk melalui GBA Corporation Sdn Bhd.

“Dengan pengalaman lebih 90 tahun dalam pembuatan dan pengedaran makanan, San Remo kekal komited terhadap pematuhan standard halal. 

“Kami menghargai kepercayaan berterusan daripada pengguna dan menggalakkan orang ramai untuk memilih produk yang diperakui halal daripada JAKIM atau badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM. Orang ramai digalak merujuk panduan rasmi dikeluarkan JAKIM dalam mengesahkan status halal produk makanan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan