EKONOMI > BERITA

KHAZANAH CATAT PRESTASI BERDAYA TAHAN PADA 2025 DI SEBALIK KETIDAKTENTUAN GLOBAL

10/02/2026 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd melaporkan prestasi berdaya tahan bagi tahun berakhir 31 Dis 2025, dengan aset bersih sebanyak RM105 bilion dan mencatatkan pulangan 5.2 peratus bagi tahun kewangan 2025, disokong oleh pengurusan portfolio yang berdisiplin dan pewujudan nilai jangka panjang.

 Selaras dengan peranannya sebagai pemegang amanah jangka panjang dan pendekatan mengambil risiko secara strategik, Khazanah turut mencatatkan pulangan kitaran tujuh tahun sebanyak 6.1 peratus. 

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata Khazanah kekal komited untuk menambah kekayaan jangka panjang Malaysia melalui pulangan terlaras risiko selain menjana nilai melangkaui pulangan kewangan melalui pembinaan kapasiti dan komuniti yang dinamik. 

“Kami gembira bahawa pendekatan berdisiplin dan pelaburan jangka panjang membolehkan kami mencatatkan prestasi berdaya tahan walaupun mendepani persekitaran global yang lebih tidak menentu pada 2025.

“Menyokong agenda Ekonomi MADANI dalam menaikkan lantai dan siling ekonomi negara terus menjadi keutamaan kami,” katanya pada taklimat media Prestasi Tahunan Khazanah 2026 di sini hari ini.

Amirul Feisal berkata walaupun pasaran global terus dipengaruhi perang tarif dan risiko geopolitik, Khazanah mencatatkan momentum pertumbuhan Malaysia yang kekal mampan, disokong oleh dasar progresif dan pendirian geopolitik berkecuali negara.

Pada 2025, jumlah aset meningkat sebanyak RM5 bilion kepada RM156 bilion, mencerminkan pertumbuhan portfolio yang stabil dalam jangka panjang. 

Prestasi kewangan Khazanah didorong terutamanya oleh portfolio pelaburan yang kekal menjadi tunjang pulangan.

Portfolio pelaburan berkembang daripada RM81 bilion pada 2018 kepada RM95 bilion setakat akhir 2025, disokong oleh prestasi kukuh ekuiti domestik dan global, pelaksanaan inisiatif penciptaan nilai dan kepelbagaian merentas portfolio.

Beliau berkata di bawah tonggak Ketersambungan dalam Strategi Pelaburan Malaysia, Khazanah telah memajukan dua inisiatif strategik utama, iaitu penyempurnaan penswastaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Dana Warisan, inisiatif di bawah Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL).

“Penswastaan MAHB privatisation telah menjana hasil yang ketara apabila pergerakan penumpang meningkat 11.2 peratus tahun ke tahun kepada 104.4 juta, disokong oleh 15 syarikat penerbangan baharu yang memulakan perkhidmatan dan operasi ke Malaysia.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur turut dinamakan sebagai lapangan terbang teratas Asia Pasifik dalam laporan OAG Megahubs 2025, menduduki tempat keempat bersama pada peringkat global dan mengekalkan kedudukannya sebagai megahub syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) terkemuka dunia,” katanya.

Dana Warisan telah mencatatkan pencapaian pemuliharaan utama termasuk pembukaan semula Seri Negara dan pemuliharaan Blok 1 Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. 

Melangkah ke hadapan, katanya Khazanah akan terus mempelbagai dan memperkukuh daya tahan portfolio melalui pengurusan kecairan dan risiko yang berhemat.

“Dalam menghadapi cabaran global yang berterusan, Khazanah akan mempercepat pelaksanaan inisiatif strategik untuk Memajukan Malaysia dengan mengoptimumkan portfolio jangka panjang dan menyampaikan impak sosioekonomi.

“Kami akan terus memberi tumpuan kepada keutamaan negara, menjana pulangan mampan, memperkukuh daya tahan portfolio merentas dimensi kecairan dan risiko serta mempelbagaikan pendedahan pelaburan antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan