EKONOMI > BERITA

MALAYSIA KEKAL OPTIMIS PELUANG PERTUMBUHAN SEKTOR SAWIT GLOBAL PADA 2026 - NORAINI

10/02/2026 02:32 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Malaysia kekal optimis bahawa 2026 akan membuka lebih banyak peluang pertumbuhan dalam sektor sawit global, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata peluang tersebut akan disokong oleh kerjasama antarabangsa yang lebih erat, penambahbaikan keadaan perdagangan, serta usaha bersama untuk memajukan kemampanan dan daya tahan dalam sektor berkenaan.

“Seiring kita melangkah ke 2026, kerjasama merentas rantaian nilai juga amat penting.

“Pengeluar, pedagang, penggubal dasar dan pengguna akhir perlu bekerjasama untuk menangani ketidaktentuan pasaran, perkembangan peraturan dan corak permintaan yang sentiaa berubah,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan dan Pameran Unjuran Harga Sawit dan Minyak Laurik (POC) Ke-37 2026, di sini hari ini.

Kira-kira 2,000 peserta daripada lebih 50 negara, termasuk pengeluar, pengguna, pedagang, pembuat dasar dan pelabur menyertai POC 2026 kali ini.

Dianjurkan oleh Bursa Malaysia, persidangan itu menampilkan perbincangan utama merangkumi dinamik penawaran dan permintaan, peralihan geopolitik, serta trend struktur yang mempengaruhi harga dan aliran perdagangan, selain peranan biobahan api, oleokimia dan inovasi teknologi yang semakin berkembang.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.

Dalam pada itu, Noraini berkata kemampanan kekal sebagai tonggak utama dalam strategi sawit Malaysia.

Beliau menekankan bahawa sepanjang 2025, industri memperkukuh usaha dalam pensijilan, penjejakan dan ketersediaan data, sekali gus meningkatkan keyakinan pembeli dan pengguna global.

“Dengan lanjutan pelaksanaan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) yang memberi masa tambahan bernilai, ia tidak seharusnya dilihat sebagai penangguhan terhadap jangkaan.

"Sebaliknya, ia menjadi peluang untuk memperkukuh kesediaan, pelaksanaan dan penyertaan merentas rantaian bekalan,” kata Noraini.

Tahun 2025 menandakan pencapaian bersejarah bagi industri sawit Malaysia, apabila pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) mencecah 20.28 juta tan iaitu paras tertinggi pernah direkodkan dan melepasi 20 juta tan metrik buat pertama kali.

Prestasi eksport sawit Malaysia juga meningkat pada 2025, dengan jumlah nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit meningkat kepada RM112.51 bilion, berbanding RM109.39 bilion pada 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan