EKONOMI > BERITA

PENGGIAT TEMPATAN DISARAN PERTINGKAT HASIL MSM BERPERINGKAT HINGGA 4.5 TAN SEHEKTAR MENJELANG 2035

10/02/2026 07:09 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Penggiat industri minyak sawit tempatan perlu melaksanakan pendekatan berperingkat untuk menambah hasil dengan meningkatkan purata produktiviti minyak sawit mentah (MSM) daripada 3.5 tan kepada 4.5 tan sehektar menjelang 2035.

Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Datuk Carl Bek-Nielsen berkata peningkatan hasil perlu dilaksanakan secara berfasa, dengan tidak menetapkan sasaran terlalu tinggi sehingga menyukarkan pekebun.

“Lebih baik mencapai peningkatan hasil MSM secara berperingkat daripada sekitar 3.5 tan sehektar kepada 4.5 tan sehektar bagi tempoh pada masa ini sehingga 2035.

“Sekiranya sasaran ini dapat dicapai, dan saya yakin ia boleh dicapai, ia akan menjadi lonjakan besar dan manfaat untuk Malaysia (industri minyak sawit),” katanya kepada Bernama di luar Persidangan dan Pameran Tinjauan Harga Sawit dan Laurik ke-37 (POC2026) di sini hari ini.

Bek-Nielsen yang juga Naib Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif United Plantations Bhd berkata peningkatan hasil secara berperingkat akan memberi impak besar sekali gus mencerminkan peningkatan pengeluaran MSM tahunan daripada 21.3 juta tan kepada 26 juta tan iaitu pertambahan sebanyak 5.7 juta tan.

“Ini boleh dilakukan tanpa penyahhutanan baharu, dengan jaminan sepenuhnya terhadap perlindungan biodiversiti serta pengurangan pelepasan gas rumah hijau. Oleh itu, marilah kita berusaha ke arah ini (peningkatan hasil), dan ia boleh dicapai sekiranya kita melakukan usaha secara bersepadu,” katanya.

Sementara itu, Bek-Nielsen turut mengunjurkan harga MSM diniagakan antara RM3,900 satu tan dan RM4,300 satu tan dalam masa terdekat sekiranya cuaca baik dan ringgit kekal melepasi RM3.90 berbanding dolar AS.

“Selain itu, faktor utama yang akan mempengaruhi pergerakan harga MSM adalah perkembangan standard berkaitan bahan api boleh baharu di Amerika Syarikat yang akan diumumkan pada Mac, sama ada menyebabkan harga menyusut atau meningkat.

“Kita juga perlu melihat kesan daripada tindakan pengambilalihan tanah di Indonesia. Di kawasan yang dikenal pasti, pengusaha menangguhkan kerja-kerja penyelenggaraan dan penggunaan baja. Keadaan ini boleh menjejaskan bekalan pada masa hadapan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan