EKONOMI > BERITA

SEAFIC LAKAR HALA TUJU RANTAU INI BAGI DEKAD AKAN DATANG - TENGKU ZAFRUL

10/02/2026 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Pusat Inisiatif Masa Depan Asia Tenggara (SEAFIC) menyasarkan menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri, ahli akademik dan inovator untuk mengenal pasti pendekatan yang akan membentuk hala tuju rantau ini dalam dekad akan datang daripada transformasi digital dan pertumbuhan hijau kepada daya tahan rantaian bekalan, aliran masuk pelaburan dan integrasi serantau yang lebih baik.

Pengasas dan Pengerusi SEAFIC Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata SEAFIC yang berpangkalan di Kuala Lumpur akan menyediakan pandangan untuk masa depan Asia Tenggara, bukan untuk meramal apa yang akan berlaku tetapi sebagai persediaan kepada pemimpin dalam menghadapi pelbagai kemungkinan.

“Dalam orde baharu dunia yang masih dibentuk semula oleh persaingan geopolitik, gangguan teknologi, peralihan iklim, perubahan demografi dan penjajaran semula rantaian bekalan, risiko sebenar bukanlah perubahan itu tetapi ketidaksediaan,” katanya pada prapelancaran SEAFIC di Jakarta hari ini.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia Dyah Roro Esti Widya Putri dan Pengerusi Majlis Perniagaan Indonesia Arsjad Rasjid manakala Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn menyampaikan ucapan melalui video.

Zafrul, yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata untuk memanfaatkan ‘dekad emas’ ASEAN, mereka perlu melengkapkan penyelesaian kolektif dengan pandangan ke hadapan sama ada integrasi serantau yang lebih baik, kerjasama awam-swasta yang lebih kukuh atau kapasiti institusi yang dipertingkatkan.

Melalui perbincangan yang berpandangan ke hadapan, SEAFIC berharap dapat membantu menjadikan perusahaan kecil dan sederhana, individu dan belia lebih berdaya tahan, relevan dan bersepadu walaupun mereka mendepani persekitaran global yang lebih tidak menentu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan