KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Malaysia dan United Kingdom akan meningkatkan kerjasama membangunkan sistem pengangkutan di Malaysia yang lebih mampan, bersepadu dan bersedia menghadapi masa hadapan.
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ajay Sharma berkata hubungan dua hala kini semakin diperkukuh melalui komitmen bersama dalam menangani perubahan iklim.
“Berdasarkan pengalaman bertahun-tahun dalam pembangunan dasar pengangkutan hijau, pembaharuan institusi dan kepakaran operasi, UK membuktikan pengalaman industri dalam mereka bentuk, mengurus dan mengoptimumkan sistem pengangkutan pelbagai mod yang menyokong pembangunan bandar mampan.
“Memandangkan agenda ini semakin menjadi bahagian penting dalam hubungan UK-Malaysia, UK bersedia menyokong visi Malaysia untuk memperluas pengangkutan awam yang rendah karbon, mempercepatkan elektrifikasi dan menerapkan kemampanan dalam pembangunan bandar,” katanya dalam satu kenyataan.
Dialog Pengangkutan Hijau UK-Malaysia yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur, menyediakan platform untuk bertukar-tukar mengenai pendekatan dasar, rangka kerja perancangan, inovasi teknologi dan amalan terbaik operasi.
Acara itu dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Kereta Api Malaysia (MRDC).
Dialog dua hari itu, yang diadakan pada 10–11 Februari, dihadiri oleh Ajay Sharma dan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa Kementerian Pengangkutan Dr Siti Muhaza Sheikh Zainal.
Ia menghimpunkan pembuat dasar, pihak berkuasa pengangkutan dan pemimpin industri dari Malaysia dan UK.
Pakar daripada Program Bandar Hijau, Infrastruktur dan Tenaga Pejabat Luar Negeri, Komanwel dan Pembangunan UK, serta wakil daripada Transport for London, Crossrail International dan Connected Places Catapult, berkongsi pengajaran daripada pengalaman UK dalam menyediakan penyelesaian pengangkutan mampan.
Dialog itu juga menampilkan syarikat-syarikat UK yang mempunyai pengalaman dalam tadbir urus pengangkutan bersepadu, pembangunan berorientasikan transit, ketersambungan jarak pertama dan terakhir, pembangunan kereta api mampan, reka bentuk tram moden, pengoptimuman rangkaian bas dan pembiayaan.
Berdasarkan acara sulung itu, kenyataan yang dikeluarkan berkenaan memaklumkan kedua-dua negara akan terus meneroka bagaimana kepakaran bersama dapat menyokong matlamat jangka panjang sistem pengangkutan yang bersepadu dan mampan di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial