KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Persatuan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menyifatkan negara ini berpotensi untuk mencapai kedudukan yang lebih baik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) memandangkan harapan komuniti perniagaan terhadap ekosistem perniagaan yang lebih telus kekal tinggi.
Presiden Datuk William Ng berkata persatuan itu menyambut baik kedudukan Malaysia di tempat ke-54 dunia dalam CPI 2025 dan menggambarkannya sebagai pencapaian penting yang mencerminkan kemajuan berterusan untuk memperkukuh integriti institusi.
Beliau berkata kemajuan itu menunjukkan pembaharuan struktur yang dimulakan sejak dua tahun lepas, kini mula membuahkan hasil.
"Peningkatan kedudukan ini adalah hasil daripada langkah-langkah konkrit, termasuk penguatkuasaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, pemerkasaan Ketua Audit Negara melalui Akta Audit (Pindaan) 2024 dan kelulusan Akta Perolehan Kerajaan 2025 yang bakal dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.
Ng berkata dengan pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta Iltizam) dan usaha berterusan dalam Reformasi Karenah Birokrasi (RKB), persatuan itu menjangkakan peningkatan yang lebih ketara tahun ini.
"Melalui pendigitalan titik sentuh dan pemansuhan peraturan lapuk, kita secara sistematik menutup ruang dan peluang untuk berlakunya rasuah," kata beliau.
Sehubungan itu, SAMENTA menyeru seluruh rakyat Malaysia, terutamanya 1.2 juta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) supaya terus bersabar dan memberikan sokongan padu terhadap inisiatif-inisiatif kerajaan.
"Rasuah merupakan 'cukai tersembunyi' dalam perniagaan. Dengan menyokong usaha kerajaan membanteras rasuah, kita sebenarnya sedang mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan memastikan PMKS kita kekal berdaya saing dalam rantaian bekalan global," tambah beliau.
Ng berkata SAMENTA akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan sama ada di peringkat awam mahupun swasta, bertujuan untuk melonjakkan Malaysia ke kedudukan 25 terbaik dunia dalam CPI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial