EKONOMI > BERITA

MY DIGITAL ID SASAR 17 JUTA AKAUN MENJELANG HUJUNG TAHUN

12/02/2026 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- My Digital ID Sdn Bhd menyasarkan 17 juta akaun MyDigital ID didaftarkan menjelang hujung tahun ini, selari dengan peningkatan penggunaan identiti digital dalam kalangan rakyat Malaysia.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Azrin Aris berkata jumlah pendaftaran dijangka mencecah 13 juta menjelang pertengahan tahun, berbanding hampir 10 juta setakat ini.

Beliau berkata angka tersebut menunjukkan lonjakan signifikan berbanding kira-kira 1.8 juta pendaftaran dalam tempoh sama tahun lepas, didorong peningkatan kesedaran terhadap risiko jenayah siber dan keselamatan data.

“Apabila lebih ramai pengguna beralih kepada identiti digital yang sah dan disahkan, ia dapat mengurangkan risiko penipuan dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan institusi perbankan, penyedia e-dompet dan Teknologi Kewangan (Fintech) di sini hari ini.

Beliau berkata MyDigital ID berfungsi sebagai platform pengesahan identiti tunggal, memudahkan pengguna mengakses pelbagai aplikasi tanpa perlu mengingati banyak nama pengguna dan kata laluan. Data pengguna disahkan secara masa nyata dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), manakala MyDigital ID bertindak sebagai pengantara pengesahan.

“Apabila terlalu banyak kata laluan perlu diingati, risiko kebocoran data meningkat. Dengan MyDigital ID, pengguna hanya memerlukan satu aplikasi untuk pengesahan identiti, sekali gus memastikan data mereka lebih selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata Malaysia merekodkan 5,159 kes penipuan kewangan elektronik pada 2025 berbanding 1,812 kes pada 2024.

Beliau berkata kes berkenaan membabitkan kerugian kewangan sebanyak RM458 juta pada 2025 berbanding RM65 juta pada 2024, dengan purata kerugian mencecah RM38.2 juta sebulan.

“Identiti kini menjadi risiko utama. Selagi identiti digital kekal berpecah-pecah dan tidak boleh dipercayai, penjenayah siber akan terus mengambil kesempatan,” katanya.

Pada majlis sama, MyDigital ID memeterai MoU dengan 15 bank utama dan syarikat Fintech bagi memperkukuh pengesahan identiti merentas ekosistem institusi kewangan negara.

Dalam kenyataan berasingan, syarikat itu memaklumkan bahawa teknologi pengesahan elektronik (e-verification) MyDigital ID akan diuji dan dilaksanakan dalam sistem pembukaan akaun serta pengesahan transaksi institusi terbabit.

MyDigital ID merupakan satu-satunya platform di Malaysia yang mengesahkan identiti secara masa nyata terus dengan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara sebagai sumber rujukan tunggal.

Keupayaan tersebut memberi tahap jaminan lebih tinggi kepada institusi kewangan dalam proses pengesahan pelanggan bagi pembukaan akaun, transaksi digital dan perkhidmatan kritikal lain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan