KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 37.3 peratus pada Disember 2025 kepada 28,684 tan berbanding 20,891 tan pada November 2025, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Namun, secara tahunan, pengeluaran getah asli menurun 25.1 peratus berbanding Disember 2024 sebanyak 38,299 tan, dengan pengeluar kecil menyumbang 87.2 peratus manakala estet, 12.8 peratus, katanya dalam kenyataan hari ini.
“Jumlah stok getah asli pada Disember 2025 meningkat 1.4 peratus kepada 121,686 tan berbanding 120,030 tan pada November 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Uzir berkata kilang pemproses getah menyumbang 76.2 peratus daripada jumlah stok, diikuti kilang pengguna getah (23.6 peratus) dan estet getah (0.2 peratus).
Malaysia mengeksport 32,139 tan getah asli pada Disember 2025, turun 12.7 peratus berbanding November 2025 (36,820 tan). China kekal menjadi destinasi utama eksport getah asli, menyumbang 49.9 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti Jerman (16.4 peratus), Emiriah Arab Bersatu (4.8 peratus), Portugal (3.9 peratus) dan Mesir (3.7 peratus).
Produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah terus menyokong prestasi eksport. Sarung tangan menjadi penyumbang utama eksport produk getah dengan nilai RM1.3 bilion pada Disember 2025, meningkat 37.3 peratus berbanding RM0.9 bilion pada November 2025.
Analisis harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat meningkat 0.7 peratus kepada 576.20 sen sekilogram berbanding 571.93 sen/kg pada November 2025. Harga sekerap pula naik 0.4 peratus kepada 592.08 sen/kg daripada 589.83 sen/kg.
Pelbagai gred Getah Mutu Malaysia mencatat kenaikan antara 0.3 peratus hingga 0.7 peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial