KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) hari ini melancarkan Jana MyPesara dengan peruntukan RM20 juta sebagai pembiayaan mikro untuk membantu pesara mengurus dan menjalankan perniagaan dengan lebih teratur.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Jana MyPesara merupakan inisiatif yang sesuai dan memberi fokus kepada penyertaan ekonomi di peringkat akar umbi.
“Pembiayaan mikro menjadi antara langkah awal yang mampan dalam konteks masyarakat yang semakin menua.
“Ramai pesara berdepan kekangan untuk mendapatkan kemudahan kredit melalui saluran konvensional, walaupun mempunyai keupayaan dan pengalaman,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Jana MyPesara di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed.
Amir Hamzah berkata Jana MyPesara bukan sekadar menyediakan pembiayaan mikro malah juga bimbingan dan khidmat mentor bagi membantu pesara mengurus serta menjalankan perniagaan masing-masing dengan lebih teratur.
Jana MyPesara melengkapkan usaha kerajaan dalam membina sistem sokongan sosial yang lebih bersasar dan sesuai dengan keperluan negara yang menuju ke arah penuaan penduduk, katanya,
“Saya berharap inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada ribuan pesara kerajaan di seluruh negara, sekali gus menyumbang kepada daya ketahanan sosioekonomi Malaysia dalam jangka panjang.
“Oleh itu saya ingin menggalakkan para pesara yang berminat memulakan atau mengembangkan perniagaan supaya mempertimbangkan peluang yang disediakan melalui Jana MyPesara,” katanya.
Amir Hamzah berkata Jana MyPesara mencerminkan komitmen kerajaan mengikut kerangka Ekonomi MADANI untuk menggalakkan pertumbuhan inklusif serta usaha ‘menaikkan lantai’ dengan membolehkan pesara menceburi aktiviti penjanaan pendapatan dan terus terlibat secara bermakna dalam kegiatan ekonomi, sekali gus memperkukuh daya tahan kewangan mereka dalam tempoh persaraan.
“Kita menyasarkan 3,000 pesara untuk menyertai program ini. Kita buat (program ini) secara rintis, insya-Allah sekiranya program ini berjaya kita akan melihat pula cara mengembangkannya di masa depan.
“Minimum dana yang boleh diterima untuk seorang pesara ialah RM1,000 tetapi maksimum ialah RM30,000,” katanya.
Beliau berkata negara sedang melalui peralihan demografi ke arah struktur penduduk yang semakin berusia.
Berdasarkan unjuran semasa, Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang 2048, apabila 14 peratus daripada jumlah penduduk adalah yang berumur 65 tahun ke atas.
Program Jana MyPesara dirangka berdasarkan dapatan tinjauan KWAP yang menunjukkan hampir 60 peratus responden berminat menceburi bidang keusahawanan selepas persaraan, dengan keperluan menambah pendapatan sebagai faktor utama.
Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pula merupakan rakan pelaksanaan program itu.
KWAP kini memberi perkhidmatan kepada lebih 810,000 penerima pencen di seluruh Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial