KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Lembaga Getah Malaysia (LGM) menyasarkan pemulihan 4,137 hektar ladang getah terbiar pada 2026 dan seterusnya 2,750 hektar pada 2027 yang melibatkan ladang pekebun kecil serta ladang swasta di seluruh negara melalui Program Konsolidasi Ladang Getah Matang Terbiar.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menjelaskan bagi memulihkan kawasan tidak bertoreh dan terbiar ini, pihaknya melalui LGM sedang melaksanakan pemulihan dan peningkatan pengeluaran getah melalui program itu.
Kerajaan memperuntukkan RM20 juta pada 2026 untuk mencapai sasaran tahun ini iaitu 4,137 hektar, menurutnya melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan dalam laman sesawang Parlimen, hari ini.
Kementerian itu menjawab pertanyaan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai strategi KPK menangani isu 420,000 hektar ladang getah terbiar di seluruh negara.
KPK memaklumkan selain program yang dilaksanakan di bawah kementerian, Risda turut melaksanakan program pemulihan getah terbiar melalui pendekatan berbeza, antaranya Program Getah Terbiar (PGT).
Bagaimanapun, bagi menarik penglibatan semua pemegang taruh dan menyelaraskan pelaksanaan program itu, Jawatankuasa Pemandu telah ditubuhkan bagi memantau Program Konsolidasi Ladang Getah Matang Terbiar.
Perkara itu melibatkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan agensi, menurut KPK.
“Kerajaan berharap agar Program Konsolidasi Ladang Getah Matang Terbiar dapat dilaksanakan secara menyeluruh oleh semua pemegang taruh dan mencapai matlamat bagi meningkatkan pengeluaran getah negara yang mampan,” jelasnya.
KPK menjelaskan selain itu, LGM juga turut mempergiatkan usaha promosi dan libat urus dengan syarikat pengurusan estet serta mengenal pasti potensi ladang milik agensi kerajaan, rancangan tanah, anak syarikat agensi kerajaan, mini estet dan ladang swasta sebagai lokasi tambahan bagi memperluas skop pelaksanaan program.
Keluasan kawasan tanaman getah yang tidak diusahakan atau terbiar di seluruh negara dianggarkan sekitar 205,209 hektar berdasarkan dapatan (Banci Pekebun Kecil Getah (BPKG) 2023 oleh Risda.
Kajian itu melibatkan kawasan milik pekebun kecil, ladang milik agensi kerajaan Persekutuan, milik agensi kerajaan negeri dan ladang milik swasta, tambah KPK.
“Kawasan yang tidak bertoreh dan terbiar ini memberi kesan langsung kepada tahap pengeluaran getah domestik negara dan menyebabkan Malaysia mengimport getah asli dan produk getah asli berjumlah RM7.6 bilion bagi 2024,” jelasnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial