KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Hock Soon Capital Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia mencatatkan penurunan apabila dibuka pada 53 sen, berkurangan tujuh sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 60 sen, susulan permintaan pelabur yang lebih rendah daripada jangkaan.
Sebelum penyenaraian, saham IPO pengeluar ayam berpusat di Perak tersebut terlebih langgan sebanyak 0.36 kali sahaja.
Pengarah Eksekutif Alex Ong bagaimanapun berkata syarikat kekal memberi tumpuan kepada pelan pengembangan jangka panjang meskipun pembukaan dagangan yang lebih rendah.
“Harga pembukaan mungkin lebih rendah daripada harga IPO kami, namun tumpuan perlu terus diberikan kepada pelan pengembangan.
"Saya percaya kami mempunyai asas kukuh dan trajektori pertumbuhan yang baik,” katanya pada sidang media bersempena penyenaraian itu.
Ong berkata keutamaan segera kumpulan adalah pembangunan projek pengembangan di Teluk Intan yang dijangka memperkukuh kapasiti pengeluaran secara berperingkat.
“Pengukuhan ringgit juga akan membantu mengurangkan kos makanan ternakan memandangkan sebahagian besar bahan makanan ternakan kami diperoleh dari luar negara,” katanya sambil menambah bahan tersebut lazimnya diimport dari Argentina, Brazil dan Ukraine.
Mengulas berkaitan pemansuhan subsidi kerajaan kepada pengeluar telur, Ong berkata sokongan itu pada asalnya diperkenalkan ketika pandemik bagi mengurangkan kesan kawalan harga susulan bekalan yang terhad.
Namun, beliau percaya meskipun tanpa subsidi kerajaan, syarikat mampu mengekalkan pendapatan yang baik dan kekal berdaya tahan memandangkan telur merupakan makanan ruji dengan permintaan yang konsisten.
Pada masa sama, Ong turut menggariskan perancangan untuk berkembang ke Singapura setelah selesai proses pengauditan Julai tahun lepas.
Syarikat kini menunggu maklum balas daripada Agensi Makanan Singapura yang dijangka diperoleh pada suku pertama, katanya.
“Pada peringkat awal, sasaran kami adalah untuk mencapai sekurang-kurangnya lima peratus sumbangan hasil daripada eksport ke Singapura,” katanya.
Dari segi kecekapan operasi, Ong berkata kumpulan berhasrat mencontohi kaedah penternakan moden yang digunakan di fasiliti sedia ada bagi projek Teluk Intan, selain kekal terbuka untuk mengguna pakai teknologi baharu yang bersesuaian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial