EKONOMI > BERITA

PENGGUNAAN SIMS CECAH 95 PERATUS DALAM KALANGAN PEMEGANG LESEN MPOB

13/02/2026 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Lebih 95 peratus pemegang lesen Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) daripada pelbagai kategori kini aktif menggunakan Sawit Intelligent Management System (SIMS), menurut lembaga itu.

Ketua Pengarah MPOB Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata sistem ini berpotensi berfungsi sebagai hab pengumpulan data industri sawit yang bersepadu, sekali gus membolehkan pemantauan dan pengesanan yang lebih cekap serta berkesan di sepanjang rantaian bekalan minyak sawit.

“Sementara itu, beliau berkata GeoSAWIT TM kini dalam proses naik taraf dengan kelengkapan dan teknologi geospatial terkini bagi pemetaan liputan tanaman sawit negara.

“Bilik Kawalan GeoSAWIT TM ditempatkan di Ibu Pejabat MPOB dan kerja-kerja naik taraf dijangka siap pada pertangahan 2026,” katanya dalam ucapan alu-aluan di Sesi Taklimat Mengenai Sawit (SIMS) dan Platform Geosawit Kepada Menteri Perladangan dan Komiditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, pada Rabu.

Ahmad Parveez berkata GeoSAWIT TM dibangunkan dengan pendekatan inklusif dan berskala nasional, bagi memastikan semua kategori pengeluar, khususnya pekebun kecil, terus kekal dalam rantaian bekalan yang semakin dikawal selia.

Katanya, melalui platform ini, data spatial dapat dimanfaatkan untuk menyokong pemantauan penggunaan tanah, penilaian risiko, serta penyediaan bukti sokongan kepada keperluan pematuhan pasaran.

“Sesi taklimat pada hari ini akan memfokuskan kepada SIMS melibatkan modul kebolehjejakan dan modul fleet management iaitu pemantauan pengalihan minyak sawit menggunakan lori tangki, serta penggunaan GeoSAWIT TM melalui teknologi geospatial bagi verifikasi dan kebolehjejakan penanaman sawit untuk memastikan industri sawit negara kekal berdaya saing, telus dan mampan,” katanya. 

SIMS serta Platform GeoSAWIT TM dibangunkan oleh MPOB, merupakan komponen penting yang menjadi kerangka utama dalam pelaksanaan Sistem Kebolehjejakan Nasional (SKN) bagi memperkasa fungsi kawal selia serta penguatkuasaan dan kebolehjejakan industri sawit negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan