EKONOMI > BERITA

PERMINTAAN DOMESTIK KUKUH TINGKATKAN KDNK MALAYSIA, DEFISIT FISKAL TURUN KEPADA 3.7 PERATUS - MOF

13/02/2026 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Permintaan domestik yang kukuh telah membantu Malaysia mengatasi anggaran awal, menaikkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 kepada paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun sebanyak 6.3 peratus dan pertumbuhan tahun penuh kepada 5.2 peratus, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Katanya momentum ini mendorong pertumbuhan KDNK tahun 2025 kepada 5.2 peratus, meningkat daripada 5.1 peratus dicatatkan pada 2024 dan melangkaui unjuran rasmi kerajaan antara 4 peratus dan 4.8 peratus. 

“Untuk dua tahun berturut-turut, Kerajaan MADANI berjaya mengatasi sasaran defisit fiskal, mencatat 3.7 peratus pada 2025 berbanding unjuran awal 3.8 peratus (2024: 4.1 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa prestasi KDNK yang lebih baik daripada jangkaan itu turut disumbangkan oleh eksport yang menggalakkan, melebihi julat unjuran 4 hingga 4.8 peratus.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan bahawa indikator makroekonomi yang kukuh turut memberi manfaat kepada rakyat, khususnya dengan pencapaian kadar pengangguran terendah sebanyak 2.9 peratus dalam tempoh lebih sedekad dan kadar inflasi yang rendah pada 2025 pada 1.4 peratus, menurun daripada 1.8 peratus pada 2024.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata penjimatan daripada reformasi fiskal dapat diperuntukkan semula kepada program bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) selain komitmen berterusan kerajaan terhadap projek infrastruktur awam yang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Sepanjang tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, semakin ketara bahawa penyampaian yang jelas bagi rangka kerja dasar seperti yang digariskan di bawah Ekonomi MADANI, diikuti pelaksanaan berterusan pembaharuan yang sukar, telah mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

“Ini dicerminkan dalam pengukuhan ringgit sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia, peningkatan pelaburan langsung dan pencapaian paras tertinggi FTSE Bursa Malaysia KLCI dalam tempoh tujuh tahun,” kata beliau.

Anwar berkata walaupun Kerajaan MADANI mengiktiraf kemajuan yang dicapai setakat ini, semua pihak tidak boleh leka – bukan hanya ketika mendepani rintangan global dan ketegangan perdagangan yang semakin meruncing yang terus mempengaruhi kehidupan rakyat.

“Adalah penting untuk kita sentiasa kekal dalam landasan pembaharuan Ekonomi MADANI, sekali gus menjadikan 2026 sebagai tahun untuk memperteguh tekad kita untuk menggalakkan aktiviti ekonomi bernilai tambah lebih tinggi, membasmi rasuah, meningkatkan kemaslahatan hidup rakyat dan menambah baik mudah cara dalam menjalankan perniagaan,” kata beliau.

Menurut MOF, ekonomi dijangka kekal pada trajektori yang stabil pada 2026 disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, penggunaan isi rumah yang kukuh dan momentum pelaburan yang berterusan.

Katanya aktiviti pelancongan yang lebih rancak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam akan mengukuhkan lagi perbelanjaan pengguna.

“Belanjawan 2026 akan meletakkan asas kepada Rancangan Malaysia Ke-13 selain dasar utama lain bagi menggalakkan pengembangan ekonomi yang inklusif dan mampan.

“Pada masa yang sama, Kerajaan MADANI akan terus berpegang teguh kepada disiplin fiskal dalam melindungi kemampanan jangka panjang tatkala menyokong momentum pertumbuhan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan