EKONOMI > BERITA

FASILITI SAF RM2.3 BILION DI JOHOR PERKUKUH MALAYSIA DALAM PENERBANGAN RENDAH KARBON

19/02/2026 02:16 PM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

JOHOR BAHRU, 19 Feb (Bernama) -- Loji bahan api penerbangan mampan (SAF) bernilai RM2.3 bilion di Tanjung Langsat, Johor, dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan penerbangan rendah karbon global, serta mewujudkan ribuan peluang pekerjaan sepanjang rantaian nilai, daripada pengumpulan bahan mentah hingga perdagangan tenaga hiliran.

Fasiliti itu dibangunkan oleh pengeluar bahan api boleh baharu berpangkalan di Hong Kong, EcoCeres.

Ia mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan 420,000 tan, 40 peratus lebih tinggi berbanding fasiliti biobahan api pertama syarikat itu di Jiangsu, China.

Keupayaan ini sekali gus menekankan peranan Johor yang semakin berkembang dalam pengeluaran biobahan api maju serta industri berorientasikan eksport.

Pengerusi Bersama EcoCeres James Tam berkata Malaysia dipilih sebagai lokasi strategik kerana bekalan bahan mentah berasaskan sisa yang mencukupi di Asia Tenggara, termasuk minyak masak terpakai dan efluen kilang sawit (POME), yang boleh ditukar menjadi biobahan api bernilai tinggi.

"Malaysia dipilih selepas menilai beberapa negara di rantau ini, serta kerajaan yang menyokong, sistem perundangan yang mantap untuk melindungi pelabur asing dan infrastruktur pelabuhan yang kukuh, seterusnya memudahkan eksport di rantau ini dan ke Eropah.

“Kemudahan pelabuhan kita juga sangat baik kerana ia hampir dengan pelabuhan yang akan membolehkan kita mengeksport bahan api penerbangan mampan kita, bukan sahaja di Malaysia dan Asia Tenggara, tetapi juga sebagai pintu masuk ke Eropah apabila kita menghantar produk kita ke sana,” katanya.

Menurut Tam, sokongan kerajaan Johor dan infrastruktur pelabuhan yang mantap membolehkan fasiliti itu disiapkan dalam masa yang amat singkat dan tercatat sebagai sejarah industri.

Loji ini beroperasi berdasarkan model ekonomi kitaran dengan menukar sisa tempatan, seperti minyak masak terpakai dan efluen kilang minyak sawit (POME), kepada biobahan api bernilai tinggi, memperkukuh nilai tambah domestik dalam sektor komoditi dan pembuatan Malaysia.

“Semua bahan yang kami gunakan sekarang adalah bahan buangan yang kurang mempunyai nilai ekonomi atau boleh memudaratkan alam sekitar. Apa yang kami lakukan ialah menukarnya menjadi sesuatu yang hebat,” katanya.

Tam berkata bahan mentah diperoleh di dalam negara, diproses di Johor dan dibekalkan untuk digunakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, mengekalkan keseluruhan rantaian nilai, daripada pengumpulan sisa hingga penggunaan bahan api, sepenuhnya dalam Malaysia.

Katanya, Eropah kini menerajui penggunaan SAF global di bawah Arahan Tenaga Boleh Baharu 3 (RED III) dan mandat Penerbangan ReFuelEU, yang memerlukan sekurang-kurangnya dua peratus pengadunan SAF pada 2025, meningkat kepada enam peratus pada 2030 dan 70 peratus menjelang 2050.

Tam menekankan bahawa permintaan terhadap bahan api penerbangan mampan dijangka meningkat dalam jangka panjang, bukan sekadar satu kitaran ekonomi, sejajar dengan pembangunan serupa di seluruh Asia, termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Jepun dan Korea Selatan.

Fasiliti ini menggaji lebih 300 kakitangan teknikal tempatan, termasuk jurutera, juruteknik dan kakitangan makmal, manakala keseluruhan rantaian bekalan dijangka mewujudkan ribuan peluang pekerjaan tambahan.

Syarikat itu juga bekerjasama dengan universiti tempatan bagi program penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan hasil, meneroka bahan mentah baharu dan membangunkan bakat teknikal dalam industri yang berkembang pesat ini.

Sempena pembukaan fasiliti SAF ini pada bulan lepas, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata projek itu selaras dengan Rangka Tindakan Penyahkarbonan Penerbangan Malaysia (MADB) dan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Ini termasuk sasaran awal pencampuran SAF satu peratus bagi mewujudkan permintaan domestik dan menyokong pertumbuhan pasaran, kata beliau.

Dalam pada itu, Noraini berkata inisiatif ini menempatkan Malaysia sebagai pengeluar SAF terkemuka di ASEAN, sambil menyelaras dasar nasional, pembangunan ekonomi dan matlamat alam sekitar untuk membina ekonomi rendah karbon yang mampan dan kompetitif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan