EKONOMI > BERITA

BANK INDONESIA KEKAL KADAR DASAR PADA 4.75 PERATUS, JANGKA PENGURANGAN AKAN DATANG

19/02/2026 09:18 PM

JAKARTA, 19 Feb (Bernama) -- Bank Indonesia (BI) telah mengekalkan kadar dasar penanda arasnya pada 4.75 peratus, memberi alasan tentang peningkatan ketidaktentuan global sambil memastikan pintunya terbuka untuk potensi pelonggaran.

Gabenor BI, Perry Warjiyo berkata keputusan itu mencerminkan keperluan bagi mengekalkan kestabilan kewangan di tengah-tengah risiko luaran yang berterusan, walaupun inflasi kekal rendah dan pertumbuhan ekonomi memerlukan sokongan berterusan.

“Selepas dua hari berbincang, kami memutuskan untuk mempertahankan kadar dasar pada 4.75 peratus,” katanya semasa sidang media dalam talian yang disiarkan secara langsung melalui akaun Youtube BI, pada Khamis.

Perry walaupun telah mengambil keputusan untuk mengekalkan kadar, menegaskan bahawa bank pusat tersebut masih melihat ruang bagi pengurangan kadar selanjutnya, tertakluk kepada perkembangan global dan datanya.

“Kami masih konsisten memandangkan kami melihat ada ruang penurunan, dengan inflasi yang rendah dan pertumbuhan ekonomi yang perlu terus didorong,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa hala tuju dasar akan kekal bergantung kepada data memandangkan ketidaktentuan yang tinggi dalam pasaran global.

Mengenai prospek pertumbuhan, Perry menjelaskan pengembangan ekonomi Indonesia pada suku pertama 2026 diunjurkan kekal kukuh, disokong oleh penggunaan bermusim dan rangsangan dasar yang diselaraskan.

Mobiliti penduduk yang tinggi pada suku pertama, sejajar dengan sambutan Tahun Baru Cina, Aidilfitri dan Hari Wesak akan melonjakkan perbelanjaan isi rumah.

Rangsangan monetari melalui kadar faedah dan pengembangan mudah tunai di samping stimulus fiskal daripada kerajaan akan terus menyokong momentum pertumbuhan.

Beliau juga menyatakan kesan daripada pelonggaran monetari sebelum ini telah mula menurunkan kadar perbankan dengan kadar pinjaman baharu berkurangan sebanyak 40 mata asas berbanding 9.20 peratus yang disaksikan semasa awal 2025 kepada 8.80 peratus pada Januari tahun ini.

“Melangkah ke hadapan, usaha untuk mengurangkan lagi kadar deposit dan kadar pinjaman bank masih perlu dipergiatkan bagi memacu pertumbuhan kredit yang lebih tinggi dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Ke hadapan ini, usaha penurunan kadar faedah dan kredit perbankan masih perlu terus ditingkatkan agar dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang berkelanjutan,” katanya sambil menambah pengurangan terkumpul 125 mata asas dalam Kadar BI pada 2025 dan pengembangan mudah tunai telah menyumbang kepada kadar pasaran yang agak rendah.

Beliau ketika mengulas mengenai rupiah memberitahu pergerakan kadar pertukaran telah dipengaruhi oleh kedua-dua faktor asas dan teknikal, sambil menyatakan bahawa penunjuk domestik seperti inflasi, pertumbuhan serta hasil mencadangkan mata wang itu harus lebih stabil dan berada dalam aliran yang lebih mantap.

Bagaimanapun, premium risiko global telah menghasilkan tekanan jangka pendek, mendorong bank  pusat itu untuk meningkatkan campur tangan pasaran.

“Kami telah meningkatkan campur tangan kami bagi menstabilkan kadar pertukaran dalam pasaran NDF(Hadapan Tidak Boleh Dihantar) luar pesisir dan pasaran domestik.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa rupiah mampu bergerak sejajar dengan asasnya, sambil menambah aliran portfolio asing kekal positif sejak dua bulan lalu, menyokong kestabilan kadar pertukaran manakala mudah tunai domestik kekal mencukupi.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan