EKONOMI > BERITA

TRUMP AKAN TINGKATKAN TARIF GLOBAL KEPADA 15 PERATUS SUSULAN KEPUTUSAN MAHKAMAH AGUNG AS

22/02/2026 09:49 AM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan menaikkan tarif global kepada 15 peratus daripada 10 peratus susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan kebanyakan langkah perdagangan yang diperkenalkannya sebelum ini.

Menurut Trump menerusi akaun Truth Social pada Sabtu, kenaikan itu iaitu di bawah Seksyen 122 akan berkuat kuasa serta-merta dan sebagai tambahan kepada tarif sedia ada.

“Saya, selaku Presiden AS, berkuat kuasa serta-merta, akan menaikkan tarif seluruh dunia sebanyak 10 peratus ke atas negara-negara, yang kebanyakannya telah “mengambil kesempatan” terhadap AS selama beberapa dekad, tanpa AS bertindak balas terhadap situasi itu (sehingga saya memegang jawatan presiden!), kepada 15 peratus yang dibenarkan, dan sah dari segi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata pentadbiran Trump akan menentukan dan memaklumkan tarif baharu yang dibenarkan di sisi undang-undang.

Pada Jumaat, Mahkamah Agung AS memutuskan bahawa penggunaan kuasa darurat oleh presiden itu untuk mengenakan tarif yang digelar sebagai timbal balas terhadap hampir semua rakan dagang AS adalah tidak berperlembagaan.

Sambil mengekalkan keputusan mahkamah rendah, mahkamah tertinggi itu turut memutuskan bahawa Trump melangkaui kuasa presidennya apabila menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 untuk mengenakan tarif global secara meluas, selain duti berkaitan fentanyl yang dikenakan ke atas barangan dari China, Kanada dan Mexico.

Keputusan untuk membatalkan sebahagian besar daripada tarif yang diperkenalkan Trump itu dinyatakan dalam dokumen setebal 170 muka surat.

Sehubungan itu, Trump kemudiannya berkata beliau telah menandatangani dokumen yang mengenakan tarif 10 peratus ke atas semua import daripada setiap negara.

-- BERNAMA 

 

​​​​​​​


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan