KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digesa memanfaatkan kestabilan ekonomi pada masa ini, didorong pengukuhan ringgit untuk memperkukuh institusi dan menjamin pertumbuhan mampan dalam tempoh lima tahun akan datang, berbanding mengejar perkembangan pesat.
Ketua Pegawai Eksekutif FSG Advisory Sdn Bhd Dr Anthony Dass berkata keutamaan PKS bukanlah untuk berkembang dengan cepat, sebaliknya untuk muncul sebagai syarikat yang ‘boleh dipercayai’ dan memperbaiki kelemahan struktur.
Beliau berkata kestabilan mata wang tidak secara automatik boleh mengukuhkan perniagaan, namun mewujudkan persekitaran operasi yang lebih terurus dan mudah dijangka.
“Dalam jangka panjang, syarikat yang dipercayai akan mendapat akses kepada peluang yang tidak diberikan kepada institusi lemah,” katanya ketika menjadi tetamu program ‘The Nation’ bertajuk ‘Stronger Firms, Not Just a Stronger Ringgit,’ terbitan Bernama TV yang dikendalikan oleh Jessy Chahal pada Jumaat lepas.
Ringgit telah mengukuh berbanding dolar AS dengan berada pada paras 3.8995 Jumaat lepas berbanding 4.50 di awal pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dass berkata pengukuhan ringgit mencerminkan keyakinan pelabur asing yang semakin meningkat, dengan lebih banyak pelaburan dan perbelanjaan pelancong masuk ke Malaysia.
Ringgit mengukuh melebihi 10 peratus berbanding dolar AS pada 2025 sekali gus menjadikannya antara mata wang berprestasi terbaik di Asia.
Walaupun mengakui bahawa pengukuhan ringgit dilihat positif berikutan kecenderungannya untuk meningkatkan sentimen, Dass menegaskan bahawa “sentimen itu tidak semestinya mencerminkan kekuatan.”
“Kestabilan mata wang tidak mengukuhkan perniagaan tetapi mewujudkan persekitaran yang lebih terurus apabila pemimpin berpeluang untuk bertindak dengan terancang berbanding secara defensif,” katanya.
Dass yang juga ahli majlis kebangsaan Persatuan PKS Malaysia berkata, ketika ini adalah tempoh yang sesuai untuk perniagaan memfokuskan untuk menambah baik lembaran imbangan dan mengukuhkan disiplin operasi.
Katanya PKS perlu meningkatkan keupayaan sebelum bank, pembeli, pengawal selia dan pembekal meletakkan jangkaan yang lebih tinggi kepada mereka.
Mengulas selanjutnya, Dass berkata syarikat perlu memperkukuh daya tahan kewangan dengan memulihkan lembaran imbangan, menjamin mudah tunai yang mencukupi dan mengelakkan kebergantungan yang tinggi kepada keadaan pasaran yang menggalakkan.
“PKS perlu meningkatkan kredibiliti operasi dengan menjadikan proses dokumentasi yang bersistem, memperkukuh penyeliaan dan memastikan prestasi yang konsisten selaras dengan piawaian yang tinggi.
"Semakin banyak syarikat dipilih berdasarkan kebolehpercayaan, pematuhan dan kelayakan mendapat pembiayaan, berbanding sebelum ini iaitu hanya berdasarkan hubungan perniagaan," katanya.
Dass berkata perniagaan perlu melabur secara terpilih untuk membangunkan keupayaan terutama dalam produktiviti, disiplin pelaksanaan dan penyeliaan yang mendalam.
Beliau turut menegaskan bahawa perniagaan sering menghadapi risiko besar yang bukannya berlaku akibat kejutan mendadak, sebaliknya daripada siri keputusan yang dilihat rasional dan berperingkat seperti menangguhkan naik taraf sistem, bergantung kepada pembiayaan jangka pendek atau menerima terma komersial yang lemah, sehingga mengurangkan daya tahan perniagaan.
"Apabila situasi kembali mencabar, perkara yang ditangguhkan itu telah menjadi kelemahan struktur.
"Punca sebenar kepada ketidaktentuan itu bukanlah daripada kejutan luaran, sebaliknya daripada kelemahan yang terkumpul ketika membuat keputusan dari semasa ke semasa," katanya sambil menggesa syarikat untuk memperkukuh institusi.
Beliau berkata kestabilan ekonomi dan kewangan ini memberi peluang kepada perniagaan untuk bertindak dengan matlamat, dan bukannya secara defensif, dengan beralih daripada hanya berdaya tahan kepada memperkuat institusi dengan aktif.
"Kestabilan tidak seharusnya menjadikan mereka selesa, tetapi sebagai peluang untuk bersedia menghadapi perubahan yang tidak dapat dielakkan di pasaran," kata Dass.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial