KOTA KINABALU, 23 Feb (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC), syarikat berkaitan kerajaan Terengganu, menjalin kerjasama strategik dengan Begas Energy Sdn Bhd yang berpangkalan di Sabah menerusi anak syarikatnya, EPIC OG Sdn Bhd.
Dalam kenyataan, EPIC menjelaskan perkhidmatan pengurusan projek berkaitan kontrak Pemulihan, Penyenggaraan dan Pengubahsuaian Terminal (TTAMM) di Sabah akan disediakan menerusi kerjasama itu.
Kedudukan EPIC dalam segmen hiliran dan perkhidmatan terminal, khususnya di Malaysia Timur terus diperkukuh menerusi perjanjian yang dimeterai dalam satu majlis di sini hari ini.
Menerusi kerjasama itu, EPIC OG akan melaksanakan pengurusan projek secara bersama-sama yang merangkumi khidmat nasihat teknikal bagi kerja-kerja penutupan terancang, penyelenggaraan rutin dan cegah serta pengubahsuaian terminal.
Skop perkhidmatan itu dirangka untuk memastikan integriti aset terus terpelihara di samping meningkatkan kebolehpercayaan operasi, selaras dengan piawaian industri, keperluan kawal selia serta amalan terbaik kesihatan, keselamatan dan alam sekitar, tambahnya.
Dalam majlis pemeteraian itu, EPIC OG diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Bhd, Dr Muhtar Suhaili dan Pengurus Besar (Tenaga) EPIC Bhd, Mohamad Irwan Abdul.
Begas Energy pula diwakili oleh Pengarah Urusan, Mohd Safian Saludin serta Pengurus Operasi Shahlan Rusian.
Pertukaran dokumen itu disaksikan oleh Pengerusi EPIC OG Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh bersama-sama anggota lembaga pengarah yang lain.
Muhtar berkata kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen berterusan kumpulan dalam menyediakan penyelesaian bersepadu merentas keseluruhan rantaian nilai minyak dan gas.
“Kerjasama strategik ini mengukuhkan keupayaan pengurusan projek oleh syarikat dalam melaksanakan skop penutupan berjadual dan penyelenggaraan yang kompleks.
“Menerusi kerjasama ini, kami menegaskan semula komitmen terhadap kecemerlangan operasi, pelaksanaan berdisiplin serta pematuhan tanpa kompromi terhadap piawaian keselamatan dalam menyokong infrastruktur tenaga yang penting,” katanya.
Muhtar berkata gabungan kepakaran EPIC OG dalam pengurusan projek dan perkhidmatan sokongan minyak dan gas yang bersepadu dengan keupayaan operasi Begas Energy dijangka memastikan pelaksanaan kontrak TTAMM yang tersusun, cekap dan berkualiti tinggi.
Selain memastikan pelaksanaan projek yang berkesan, kerjasama itu juga menyokong strategi jangka masa panjang EPIC untuk memperluas penglibatan dalam operasi terminal dan perkhidmatan penyenggaraan.
Pada masa sama, usaha itu dijangka menyumbang kepada kemampanan dan daya tahan sektor tenaga Sabah serta industri minyak dan gas negara secara keseluruhan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial