EKONOMI > BERITA

CIMB ISLAMIC AKAN MEMANFAATKAN KEKUATAN PASARAN MODAL BAGI PERTUMBUHAN SERANTAU

23/02/2026 09:02 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- CIMB Islamic Bank Bhd sedang mencari jalan bagi  mengintegrasikan perbankan Islam di seluruh rantau ini bagi memacu pertumbuhannya, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shahriman Mohd Shariff.

Beliau berkata ia akan melibatkan penggunaan kekuatan tradisonalnya dalam pasaran modal, termasuk memudahkan transaksi rentas sempadan dan menyediakan pelanggan akses kepada pasaran antarabangsa. 

“Dari segi peruncitan, kami cuba menyediakan penyelesaian yang relevan untuk pelanggan kami. 

“(Dan) saya fikir satu bidang tumpuan kami sudah tentulah pengurusan harta Islam kerana kami telah melancarkan cadangan kami tahun lepas.

“Ia merupakan satu bidang yang kami benar-benar ingin beri tumpuan,” katanya ketika ditemui pada majlis pengagihan bungkusan juadah berbuka puasa di Wisma Bernama hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang  Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Ekonomi) Harlina Samson dan Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali.

Bank tersebut melancarkan pelan tindakan strategik baharu 2025-2030, atau dikenali sebagai Forward30, tahun lepas. 

Ahmad Shahriman berkata bank itu terus menyokong agenda negara dengan memberi sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menggunakan sekitar 24 peratus dana sedia ada daripada dana Islam Bank Negara Malaysia bagi PKS untuk menggalakkan pembangunan PKS, yang disalurkan merentasi sektor seperti halal, automasi dan inisiatif hijau. 

Beliau berkata CIMB Islamic telah memperuntukkan RM2.2 juta bagi program Harapan Ramadannya tahun ini di seluruh Malaysia dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 45,000 individu, dengan program tambahan dirancang untuk Singapura dan Indonesia. 

“Tahun ini, bank telah mengambil pendekatan yang lebih inklusif dengan mengagihkan bantuan menerusi peruncit kecil berbanding rangkaian runcit besar sebelum ini, bagi membolehkan pemilik kedai tempatan dalam komuniti mendapat manfaat daripada program ini. 

“Kami turut memberi bantuan kepada kira-kira 50 perniagaan kecil yang terletak berhampiran empat Program Perumahan Rakyat (PPR) yang menerima sokongan kami di bawah inisiatif Santuni Madani, iaitu kami menyumbang sebanyak RM1,000 untuk mereka memulakan perniagaan,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata ia merupakan pendekatan yang diambil oleh bank, iaitu bukan sahaja tertumpu kepada penyediaan bantuan, tetapi juga berusaha merangsang ekonomi tempatan. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan