KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Sarawak sedang memperkukuh penglibatan di peringkat global menerusi Mobile World Congress (MWC) Barcelona 2026 untuk meletakkan negeri itu sebagai ekonomi berpandangan jauh dan bersedia menerima pelaburan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata MWC menyediakan platform penting untuk negeri ini melibatkan rakan kongsi global, memperkukuh keupayaan perindustrian dan digitalnya serta menarik pelaburan yang berkualiti.
“Sarawak sedang melaksanakan pendekatan pembangunan yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MWC yang menjadi antara platform utama dunia bagi kesalinghubungan dan teknologi, akan diadakan bermula 2 hingga 5 Mac 2026 di Fira Gran Via, Barcelona, Sepanyol.
Menurut kenyataan itu, Sarawak menyasarkan untuk menjalin kerjasama dalam infrastruktur digital, aplikasi kecerdasan buatan, sistem bandar pintar, teknologi boleh baharu dan hidrogen, pembuatan termaju, rantaian nilai semikonduktor, kerjasama penyelidikan dan pemindahan teknologi di MWC Barcelona 2026.
Penyertaan Sarawak pada acara itu mencerminkan komitmen berterusan negeri itu terhadap penglibatan antarabangsa yang berstruktur, kemajuan teknologi dan pembangunan jangka panjang yang bertanggungjawab, seiring dengan keutamaan global dalam transformasi digital, daya tahan ekonomi dan tindakan iklim.
Pada acara itu, Sarawak akan membentangkan agenda pembangunannya sehingga 2030 dan menggariskan bidang pelaburan keutamaan negeri itu dengan penekanan yang kukuh terhadap pelaksanaan praktikal dan pertumbuhan mampan.
Menurut kenyataan itu, transformasi digital Sarawak dipacu oleh infrastruktur telekomunikasi yang mantap dan sistem tenaga berasaskan tenaga boleh baharu, dengan liputan internet pada masa ini melebihi 90 peratus kawasan berpenduduk, disokong oleh peluasan rangkaian utama gentian optik, inisiatif jalur lebar luar bandar serta penyelesaian kesalinghubungan satelit.
Katanya selain itu kesiapsiagaan ekosistem 5G sedang dilaksanakan melalui tapak pelaksanaan yang dikenal pasti dan kerjasama industri.
Pada masa yang sama, Sarawak sedang memperkukuh keupayaan untuk bergiat lebih aktif dalam ekonomi digital menerusi pelaburan berterusan dalam kesalinghubungan dan kesiapsiagaan digital berikutan kecerdasan buatan dan sistem digital termaju yang membentuk semula industri global.
“Pengembangan berterusan rangkaian utama gentian optik, jalur lebar luar bandar dan penyelesaian sambungan satelit memastikan capaian yang diyakini dan inklusif supaya transformasi digital memberi manfaat yang ketara kepada komuniti di seluruh Sarawak sambil menyokong pertumbuhan yang mampan dan jangka panjang,” kata Julaihi.
Sarawak turut menyasarkan untuk mewujudkan lebih 300,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2030, dengan pembangunan modal insan kekal sebagai teras kepada daya saing jangka panjang.
Sarawak menyasarkan untuk mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM282 bilion menjelang 2030, mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus berbanding paras pada 2005 serta meningkatkan pendapatan median bulanan isi rumah kepada RM15,000 dan pada masa sama mempertingkat pembangunan inklusif dan mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial