EKONOMI > BERITA

TROPICANA, SIGNATURE, EDCA ENERGY JALIN KERJASAMA PERKASA PEMILIKAN RUMAH MAMPAN

24/02/2026 02:57 PM

PETALING JAYA, 24 Feb (Bernama) -- Tropicana Corporation Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Signature Distribution Sdn Bhd dan EDCA Sdn Bhd (EDCA Energy) bagi memperkasa amalan mampan serta kecemerlangan bangunan hijau, sekali gus meningkatkan pengalaman pemilikan rumah di Avisa Residences.

Pengarah Urusan Pemasaran, Jualan dan Pembangunan Perniagaan Tropicana Ixora Ang berkata kerjasama dengan Signature membolehkan pemilik rumah Avisa menikmati tujuh pakej penambahbaikan kediaman yang dirangka secara eksklusif dan fleksibel mengikut keperluan gaya hidup berbeza.

Beliau berkata ini membolehkan pemilik rumah menyelesaikan pakej pilihan mereka secara progresif dalam tempoh enam, 12 atau 18 bulan sebelum kerja-kerja pengubahsuaian dimulakan.

“Dengan mengambil kira komitmen kewangan yang lazimnya dihadapi ketika berpindah ke kediaman baharu, kami menyediakan pakej yang merangkumi pengubahsuaian asas serta kelengkapan utama, membolehkan pemilik melangkah masuk ke kediaman idaman pada harga serendah RM20,800.

“Selain itu, pemilik juga boleh menikmati tahap kemampuan kewangan yang lebih baik menerusi susunan prabayaran berstruktur berasaskan ansuran bagi perancangan renovasi, sekali gus memudahkan penjadualan bayaran sebelum penyerahan milikan kosong,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama itu di sini hari ini.

Mengenai kerjasama dengan EDCA Energy, Ixora berkata syarikat berkenaan menawarkan pakej sistem panel solar yang disesuaikan khas secara eksklusif untuk Avisa Residences di Tropicana Alam, sekali gus membolehkan penduduk menikmati kadar pasaran yang kompetitif sambil mengamalkan gaya hidup lebih cekap tenaga dan bersedia untuk masa hadapan.

Beliau berkata terhad kepada 50 unit pertama, pemilik rumah boleh memilih dua pakej solar pada harga kompetitif menerusi program Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP).

“Kerjasama strategik ini memperkukuh komitmen Tropicana terhadap amalan mampan dan kecemerlangan bangunan hijau, selain menambah baik keseluruhan pengalaman pemilikan di Tropicana Alam,” katanya.

Mengulas kerjasama itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature Lau Kock Sang berkata kolaborasi berkenaan mengubah atau mentakrif semula pengalaman memiliki rumah baharu bagi penduduk Malaysia dengan memastikan proses perpindahan lebih lancar, tersusun dan bebas tekanan.

“Menerusi kerjasama ini, kami memperkenalkan susunan prabayaran berstruktur berasaskan ansuran seawal pemeteraian perjanjian jual beli, membolehkan pemilik memulakan perancangan kewangan dan reka bentuk lebih awal.

“Dengan melibatkan pemilik pada setiap peringkat, kami memberi kelebihan awal kepada mereka untuk merancang pengambilan kunci dengan lebih jelas dan yakin,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan