EKONOMI > BERITA

LHDN KELUARKAN HAMPIR 200,000 NOTIS CP500, JUMLAH CUKAI CECAH RM1.1 BILION - MOF

24/02/2026 10:09 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengeluarkan hampir 200,000 Notis Bayaran Ansuran Cukai (CP500) kepada pembayar cukai dengan anggaran jumlah cukai sekitar RM1.1 bilion, sehingga Januari 2026, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF turut berkata kerajaan mengambil maklum keadaan bahawa terdapat pembayar cukai yang sebenarnya tidak menerima pendapatan selain pendapatan penggajian juga telah menerima CP500.

“Semakan LHDN mendapati bahawa pembayar cukai berkenaan telah membuat pelaporan yang kurang tepat dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan (atau BNCP), yang mana sebahagian pendapatan penggajian telah dilaporkan sebagai pendapatan selain penggajian.

“Dalam hal ini, tindakan pengesanan dan pembatalan CP500 sedang diambil ke atas pembayar cukai berkenaan,” kementerian itu berkata melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan melalui laman sesawang Parlimen hari ini.

MoF berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) dan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang ingin tahu asas pengeluaran borang CP500 bayaran ansuran, berapa pembayar cukai terbabit termasuk jangkaan jumlah yang dikutip.

Selain itu, kementerian itu berkata bagi pembayar cukai yang mempunyai pendapatan selain penggajian, kerajaan telah memutuskan untuk tidak mengenakan penalti sekiranya pembayar cukai tidak membuat bayaran ansuran CP500 tersebut sepanjang 2026.

“Pembayar cukai juga dinasihatkan supaya mengemas kini maklumat pelaporan pendapatan dalam BNCP tahun taksiran 2025 bagi mengelakkan penerimaan CP500 pada masa hadapan,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan