EKONOMI > BERITA

UNTUNG BERSIH KUMPULAN AMBANK NAIK KEPADA RM529.58 JUTA PADA SUKU KETIGA TAHUN KEWANGAN 2026

25/02/2026 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- AMMB Holdings Bhd (Kumpulan AmBank) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM529.58 juta pada suku ketiga bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026  daripada RM486.49 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Kumpulan perbankan berkenaan dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata prestasi yang lebih baik itu dipacu oleh pendapatan yang lebih tinggi serta pembalikan rosot nilai bersih lebih tinggi yang direkodkan dalam bahagian perbankan borongnya.

Tambahnya, peningkatan itu turut disokong oleh pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.5 peratus dalam pendapatan pembiayaan bersih dan 25.6 peratus dalam pendapatan bukan pembiayaan bagi bahagian perbankan Islamnya.

Selain itu, katanya, pendapatan pelaburan yang lebih tinggi serta premium insurans bersih diperoleh lebih tinggi, sebahagiannya diimbangi oleh tuntutan yang lebih tinggi dalam bahagian insuransnya.

Syarikat itu juga melaporkan hasil perolehannya meningkat kepada RM1.28 bilion daripada RM1.24 bilion sebelumnya.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama yang berakhir 31 Dis, 2025, keuntungan bersih Kumpulan AmBank menokok kepada RM1.58 bilion daripada RM1.49 bilion sebelumnya manakala hasil perolehannya juga naik sedikit kepada RM3.86 bilion daripada RM3.65 bilion.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Jamie Ling berkata kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan pendapatan dan keuntungan yang baik bagi sembilan bulan pertama tahun kewangannya dengan mencapai pulangan ekuiti tahunan sebanyak 10.1 peratus dan pulangan ke atas aset sebanyak 1.06 peratus.

"Secara berhematnya, kedudukan modal kami kekal kukuh dengan kedudukan mudah tunai yang mencukupi. Kami memberi tumpuan untuk mencatatkan suku tahunan yang konsisten bagi menutup tahun kewangan 2026 dengan kukuh," katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai prospek, Ling berkata walaupun terdapat tempoh ketidaktentuan luaran yang dipacu oleh ketidakpastian geopolitik di peringkat global, ekonomi domestik lebih daripada sekadar berdaya tahan dan terus berkembang.

"Kami menguruskan profil risiko kami secara aktif, menilai potensi kenaikan serta risiko penurunan dan membuat penyesuaian yang diperlukan terhadap rancangan pertumbuhan kami.

"Kami terus membuat kemajuan yang baik bagi mencapai matlamat kewangan dalam tahun kedua strategi Winning Together (WT29) kumpulan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan