KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Public Bank Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 meningkat 1.1 peratus kepada RM7.22 bilion daripada RM7.14 bilion pada tahun kewangan 2024, disokong pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan yang memberangsangkan.
Perolehan pula menokok 8.5 peratus kepada RM29.51 bilion daripada RM27.21 bilion bagi tempoh sama, didorong pertumbuhan perniagaan pinjaman dan deposit yang positif di samping pertumbuhan kukuh pendapatan bukan faedah dan bukan pembiayaan sebanyak 15.2 peratus.
Dalan kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, bank itu menjelaskan pinjaman kasar meningkat sebanyak RM21.6 bilion atau 5.1 peratus kepada RM445.8 bilion setakat 31 Dis, 2025 daripada RM424.2 bilion pada akhir tahun sebelumnya.
Prestasi itu disumbangkan terutama oleh pertumbuhan pembiayaan gadai janji domestik, pembiayaan sewa beli dan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tambahnya.
“Jumlah deposit pelanggan meningkat sebanyak RM13.8 bilion atau 3.2 peratus kepada RM447.1 bilion dalam tempoh yang sama setakat 31 Dis, 2025. Nisbah pinjaman susut nilai kasar kekal stabil pada 0.51 peratus, jauh lebih rendah berbanding nisbah pinjaman susut nilai kasar industri sebanyak 1.37 peratus,” jelasnya.
Menurut Public Bank, portfolio pinjaman domestik pula berkembang 5.9 peratus kepada RM421 bilion, mengatasi pertumbuhan pinjaman industri perbankan Malaysia pada 4.8 peratus, terutama didorong oleh pembiayaan teras dalam segmen runcit dan PKS.
Pembiayaan hartanah kediaman domestik meningkat 5.8 peratus kepada RM180.3 bilion manakala pembiayaan sewa beli mencatatkan pertumbuhan utuh sebanyak 10.1 peratus kepada RM80.5 bilion dan pembiayaan PKS turut berkembang 10.6 peratus kepada RM79.6 bilion, tambahnya.
Jumlah deposit pelanggan bank itu berjumlah RM447.1 bilion setakat akhir Disember 2025, mewakili pertumbuhan 3.2 peratus berbanding angka pada 2024.
Di peringkat domestik, jumlah deposit meningkat 3.8 peratus kepada RM419.0 bilion, disokong oleh deposit teras dan deposit pasaran wang.
Sementara itu, kedudukan modal Public Bank kekal kukuh pada 2025, dengan nisbah modal ekuiti biasa kumpulan satu, nisbah modal kumpulan satu dan nisbah modal keseluruhan masing-masing pada 13.9 peratus, 13.9 peratus dan 16.6 peratus.
Asas deposit yang kukuh terus menyokong kedudukan pendanaan yang baik, seperti ditunjukkan melalui nisbah pinjaman kasar kepada dana dan ekuiti sebanyak 84.1 peratus setakat akhir Disember 2025.
Bagi suku keempat tahun kewangan 2025, bank itu melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM1.87 bilion berbanding RM1.79 bilion pada suku sama tahun kewangan 2024 manakala perolehan meningkat kepada RM7.42 bilion daripada RM7.05 bilion.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Tay Ah Lek berkata lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 12 sen sesaham.
Beliau berkata susulan dividen interim pertama sebanyak 10.5 sen sesaham seperti yang diisytiharkan pada Ogos 2025, ini menjadikan jumlah dividen bagi 2025 adalah sebanyak 22.5 sen sesaham.
“Ini mewakili jumlah pembayaran RM4.37 bilion atau 60.5 peratus daripada keuntungan bersih bagi 2025, sejajar dengan sasaran pembayaran dividen bagi keseluruhan tahun kumpulan.
Dividen interim kedua itu dijadualkan dibayar pada 26 Mac, 2026, dengan tarikh kelayakan dividen pada 12 Mac, 2026.
Bank itu memjelaskan dalam melangkah maju, pihaknya akan terus mengharungi cabaran dan memanfaatkan peluang dengan daya tahan, berusaha meraih lebih banyak pencapaian penting dalam beberapa dekad akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial