KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Wasco Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 melonjak kepada RM160.54 juta berbanding RM153.04 juta pada tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, penyedia penyelesaian tenaga itu berkata hasil, bagaimanapun susut kepada RM2.60 bilion daripada RM3.18 bilion sebelum ini, terutamanya disebabkan faktor masa pelaksanaan projek yang diterima.
Bagi suku keempat berakhir 31 Dis, 2025, keuntungan bersih meningkat kepada RM56.50 juta daripada RM35.27 juta setahun lepas, manakala hasil merosot kepada RM592.39 juta berbanding RM984.40 juta.
Dalam kenyataan berasingan, syarikat berkata prestasi keuntungan yang lebih kukuh pada suku keempat mencerminkan peningkatan leverage operasi apabila projek memasuki fasa pelaksanaan bermargin lebih tinggi, disokong pengurusan kos yang berdisiplin di seluruh kumpulan.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Giancarlo Maccagno berkata syarikat merekodkan keuntungan selepas cukai terkumpul sebanyak RM470 juta sepanjang tiga tahun berturut-turut dalam industri berasaskan projek, mencerminkan keuntungan mampan serta disiplin dalam operasi.
“Dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM49.2 juta setakat 31 Dis, 2025 serta pembayaran dividen berterusan termasuk dividen khas tahun ini, kami yakin terhadap kemampanan pendapatan syarikat. Pada masa sama, skor Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia kami meningkat kepada 4.4 daripada 4.1 sebelum ini, termasuk skor maksimum 5.0 bagi tema sosial.
“Peningkatan ini mencerminkan pengukuhan pengawasan tadbir urus serta penekanan berterusan terhadap piawaian buruh, kesihatan dan keselamatan serta amalan perniagaan bertanggungjawab, sekali gus membuktikan organisasi boleh menjana pulangan mampan kepada pemegang saham sambil beroperasi secara bertanggungjawab,” katanya.
Lembaga pengarah mencadangkan dividen akhir sebanyak tiga sen sesaham dan dividen khas satu sen sesaham bagi tahun kewangan 2025, menjadikan jumlah dividen empat sen sesaham.
Cadangan dividen itu mencerminkan kedudukan kunci kira-kira kumpulan yang semakin kukuh, keuntungan mampan sepanjang tiga tahun kewangan berturut-turut serta rangka kerja peruntukan modal yang berdisiplin, kata Wasco.
Bagi prospek akan datang, kumpulan itu akan terus melaksanakan portfolio projek yang pelbagai di Asia Tenggara, Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Australia merangkumi infrastruktur minyak dan gas luar pesisir, fabrikasi modular, pencawang, perkhidmatan saluran paip, penjanaan kuasa serta sistem penyimpanan tenaga.
Nilai perolehan kontrak syarikat meningkat kepada RM2.8 bilion manakala nilai tender sebanyak RM12.0 bilion, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan hingga tahun kewangan 2026 dan seterusnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial