EKONOMI > BERITA

DEWAN RAKYAT LULUS RUU PERBEKALAN TAMBAHAN (2025) 2026

26/02/2026 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2025) 2026 bagi perbelanjaan tambahan perkhidmatan berjumlah RM7.94 bilion daripada Kumpulan Wang Disatukan.

RUU berkenaan dibentangkan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Peruntukan tambahan itu melibatkan pengeluaran wang tidak melebihi RM7,938,212,000 daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi perbelanjaan tambahan perkhidmatan pada 2025.

Peruntukan tersebut diagihkan kepada Perkhidmatan Am Perbendaharaan iaitu sebanyak RM1,393,229,000, Kumpulan Wang Terkanun (RM 5,293,447,300), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (RM 993,943,800) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (RM257,591,900).

Terdahulu, ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan, Amir Hamzah berkata bahawa RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026 adalah jauh lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya, iaitu RM70 bilion pada 2022, RM30 bilion pada 2023, dan RM20 bilion pada 2024.

“Kerajaan akan terus melaksanakan pengurusan fiskal yang lebih terkawal dan berdisiplin,” katanya.

Sementara itu, semasa perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya, menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan kerajaan telah meluluskan pinjaman mudah (GSL) berjumlah RM135 juta kepada syarikat konsesi Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) bagi memastikan projek itu siap dan tidak terbengkalai.

Beliau berkata keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Okt 2023, mengambil kira kemajuan fizikal projek melebihi 90 peratus, selain kekangan kewangan syarikat konsesi akibat kenaikan kos pembinaan dan isu pelaksanaan berlarutan.

“Bantuan GSL ini akan menampung sebahagian kos pembinaan lebuh raya berkenaan, tanpa melibatkan kenaikan kadar tol atau lanjutan tempoh konsesi seperti yang ditetapkan dalam perjanjian asal,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan