EKONOMI > BERITA

E&O AKAN LANCAR PROJEK TEPIAN AIR DI PULAU ANDAMAN PADA AKHIR 2026

26/02/2026 08:33 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Pemaju hartanah Eastern & Oriental Bhd (E&O) merancang untuk melancarkan projek tepian air di Pulau Andaman, Pulau Pinang pada akhir 2026.

Pengarah Urusannya Kok Tuck Cheong berkata projek ini akan melibatkan pembangunan komponen komersial di tapak seluas 30.35 hektar.

"Lokasi tepian air ini bersebelahan dengan pembangunan kediaman kami yang sedang dibina iaitu Maris dan Avea.

"Dari segi harga, kami berhasrat untuk mengekalkan paras harga semasa kami," katanya sewaktu membentangkan keputusan kewangan E&O di sini hari ini.

Sementara itu, keuntungan bersih E&O melonjak kepada RM63.51 juta pada suku ketiga yang berakhir 31 Dis, 2025 daripada RM30.89 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Dalam tempoh suku yang dinilai, kumpulan mencatatkan hasil perolehan sebanyak RM243.92 juta, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 45 peratus daripada RM167.74 juta.

"Prestasi kukuh ini dipacu oleh pengiktirafan perolehan yang lebih tinggi daripada pembangunan yang sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026, keuntungan bersih E&O naik mendadak kepada RM159.17 juta daripada RM98.80 juta sebelumnya.

Perolehan untuk tempoh tersebut juga meningkat sebanyak 25 peratus tahun ke tahun kepada RM631.79 juta daripada RM504.43 juta sebelumnya yang dipacu oleh prestasi lebih kukuh dalam segmen hartanah.

Kumpulan mengisytiharkan dividen interim sebanyak satu sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2026 dan akan dibayar pada 8 April, 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan