KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) mencatatkan peningkatan untung bersih kepada RM384.71 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 berbanding RM378.14 juta bagi tahun kewangan 2024, didorong oleh pelepasan margin perkhidmatan kontraktual yang lebih tinggi serta peningkatan pelaburan bersih.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pengendali takaful itu memaklumkan hasil bagi tahun kewangan berakhir meningkat kepada RM4.39 bilion berbanding RM4.12 bilion sebelumnya.
Menurutnya, perniagaan takaful keluarga menjana hasil takaful sebanyak RM2.23 bilion bagi tahun kewangan 2025, meningkat 12.2 peratus berbanding RM1.99 bilion pada tahun sebelumnya, terutamanya didorong oleh amaun yang lebih tinggi dikenakan bagi perlindungan takaful serta pelepasan sumbangan yang lebih besar.
Sementara itu, hasil takaful am susut kepada RM1.44 bilion pada tahun kewangan 2025 berbanding RM1.46 bilion pada tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan sumbangan lebih rendah yang dikenakan dalam segmen takaful kebakaran.
Bagi suku keempat berakhir 31 Dis, 2025, untung bersih meningkat kepada RM90.94 juta berbanding RM82.09 juta setahun sebelumnya, manakala hasil bertambah kepada RM1.20 bilion berbanding RM1.05 bilion sebelum ini.
Mengenai prospek, Takaful Malaysia memaklumkan kumpulan itu kekal komited untuk mengembangkan perniagaan secara bertanggungjawab sambil memperkukuh agenda kemampanan dan keutamaan alam sekitar.
“Seiring keperluan kawal selia, kumpulan sedang membangunkan pelan hala tuju pelaksanaan ke arah pematuhan penuh terhadap Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Nasional (NSRF) yang baharu diumumkan menjelang 2027,” menurutnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial