KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Mulpha International Bhd melonjak kepada RM404.30 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 berbanding RM70.81 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Syarikat pelaburan itu berkata prestasi yang lebih baik ini telah disokong oleh keuntungan daripada penjualan sekuriti pelaburan kumpulan dalam Hydra RL Topco Pty Ltd dan kepentingan ekuiti dalam New Pegasus Holdings Ltd.
Pendapatan untuk tahun kewangan 2025 menokok kepada RM1.59 bilion daripada RM1.03 bilion pada tahun kewangan 2024 disebabkan prestasi yang lebih kukuh daripada segmen pembangunan hartanah, tetapi sebahagiannya telah diimbangi oleh prestasi yang agak lemah daripada sektor hospitaliti dan percutian, pelaburan hartanah, kewangan serta pelaburan dan segmen lain.
“Segmen pembangunan hartanah melaporkan peningkatan ketara dalam hasil iaitu sebanyak RM610.79 juta bagi tahun berakhir 31 Dis 2025 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya disebabkan penempatan lebih tinggi di Norwest Quarter dan pembangunan MSC Harbour One di Australia berikutan penyiapannya baru-baru ini,” jelasnya melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Untuk suku keempat tahun kewangan 2025, Mulpha mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM110.57 juta daripada RM69.27 juta, manakala hasil melonjak kepada RM942.22 juta berbanding RM283.89 juta yang disaksikan sebelumnya.
Keuntungan bersih yang bertambah baik pada suku keempat tahun kewangan 2025 telah dipacu oleh prestasi operasi yang lebih kukuh dalam segmen pembangunan hartanah termasuk keuntungan yang timbul daripada pelupusan pelaburan dalam New Pegasus Holdings Ltd pada suku tersebut.
Hasil suku keempat tahun kewangan 2025 yang lebih baik juga telah didorong oleh sumbangan yang lebih mantap daripada segmen pembangunan hartanah, hospitaliti dan riadah.
Mulpha ketika mengulas mengenai prospek berkata portfolio terpelbagainya dijangka terus memberikan prestasi berdaya tahan, disangga oleh permintaan yang stabil di seluruh hotel dan hospitaliti, pembangunan kediaman dan aset pelaburan hartanah. “Secara keseluruhan, kumpulan kekal optimistik dengan berhati-hati, disokong oleh asas asetnya yang pelbagai serta pengurusan kos yang berdisiplin, tertakluk kepada keadaan ekonomi semasa,” katanya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial