EKONOMI > BERITA

STRATEGI ASET, PELABURAN ANTARABANGSA PACU DIVIDEN KWSP KEKAL KOMPETITIF - PAKAR EKONOMI

28/02/2026 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Pengagihan kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka kekal kompetitif bagi 2026 berbanding tahun lepas, dipacu oleh strategi dan peruntukan aset dana simpanan persaraan itu, kata Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ahmed Razman.

Ahmed Razman berkata berdasarkan pembentangan KWSP, peruntukan aset dana tersebut memberi tumpuan kepada pelaburan yang mampu menjana pulangan lebih stabil serta kurang terdedah kepada turun naik kadar pertukaran mata wang.

“Kalau kita lihat apa yang diumumkan, terdapat sedikit peningkatan dalam pelaburan pasaran ekuiti persendirian dan juga penumpuan kepada pelaburan antarabangsa.

“Ini merupakan antara strategi untuk mempelbagaikan risiko supaya pergerakan ringgit tidak memberi kesan besar terhadap kadar dividen dari tahun ke tahun,” katanya kepada media selepas KWSP mengumumkan kadar dividen 2025 hari ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan prestasi sederhana Bursa Malaysia tahun lepas dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada penurunan kadar dividen kepada 6.15 peratus bagi tahun kewangan 2025 berbanding 6.30 peratus pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata pengukuhan mata wang tempatan memberi kesan langsung terhadap pulangan pelaburan luar negara yang dinilai dalam dolar AS apabila diterjemahkan semula kepada ringgit.

“Apabila ringgit mengukuh berbanding dolar AS, pulangan pelaburan luar negara akan diterjemahkan kepada nilai yang lebih rendah dalam ringgit,” katanya pada sidang media pengumuman prestasi kewangan KWSP 2025 di sini, hari ini.

Bagi tahun berakhir 31 Disember, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada 2024.

Aset pelaburan turut meningkat kepada RM1.41 trilion, naik 12.8 peratus daripada RM1.25 trilion, didorong oleh prestasi portfolio serta jumlah caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion.

Walaupun pendapatan meningkat, kadar dividen adalah lebih rendah berikutan kesan pertukaran mata wang dan prestasi pasaran yang sederhana sepanjang tahun.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai berkata KWSP terus memperluas pelaburan bagi mengimbangi antara aset berpendapatan tetap dan ekuiti, termasuk pelaburan dalam perniagaan yang berpotensi tinggi.

“Pendekatan ini boleh membantu KWSP menjana pendapatan yang lebih mampan dalam jangka panjang,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zulqarnain berkata ekuiti kekal sebagai penyumbang utama pada 2025 dengan menjana RM50.7 bilion atau 64 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

“Jumlah ini mengatasi RM49.9 bilion yang dicatatkan pada 2024, manakala pulangan pelaburan (ROI) sederhana kepada 7.9 peratus berikutan ketidaktentuan pasaran global dan keadaan pasaran domestik yang lebih perlahan.

“Pelaburan ekuiti persendirian, yang merangkumi kira-kira lapan peratus daripada pelaburan ekuiti, mencatatkan ROI sebanyak 10.5 peratus,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan