EKONOMI > BERITA

DIVIDEN KWSP 6.15 PERATUS CERMINAN PRESTASI, DAYA TAHAN PASARAN - AHLI EKONOMI

01/03/2026 09:42 AM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 6.15 peratus bagi akaun simpanan konvensional dan shariah, dengan jumlah pembayaran  RM79.6 bilion bagi 2025, adalah wajar serta mencerminkan prestasi pasaran kewangan yang berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan global, kata ahli ekonomi

Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata dana persaraan itu telah memberikan pulangan yang kukuh, walaupun 2025 merupakan tahun yang sukar dengan pelbagai ketidakpastian dalam pasaran ekuiti dan hutang, sama ada di peringkat tempatan serta antarabangsa. 

“Pasaran ekuiti Malaysia meningkat secara beransur-ansur sepanjang tahun dan hanya mencecah 1,700 pada awal tahun ini. 

“Jadi, peruntukan yang baik oleh KWSP dan petunjuk bahawa Bursa Malaysia mempunyai beberapa syarikat dividen yang berdaya tahan. 

“Ini satu perkara yang positif tetapi ia juga menunjukkan bahawa Bursa memerlukan lebih banyak syarikat yang sedang berkembang,” katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dividen itu kukuh walaupun sedikit lebih rendah berbanding 6.3 peratus tahun lepas dan terus memberikan pulangan sebenar melebihi inflasi. 

“Kadar dividen masih jauh melebihi kadar inflasi jangka panjang iaitu 2.50 peratus yang secara efektifnya memberikan kadar dividen sebenar sebanyak 3.65 peratus. 

“Apa yang dimaksudkan ialah ahli KWSP masih berada dalam keadan yang lebih baik selepas mengambil kira kadar inflasi,” katanya sambil menambah bahawa dividen itu masih tinggi mengikut piawaian sejarah.

Menurut Mohd Afzanizam, kadar dividen kali terakhir sebanyak 6.15 peratus bagi simpanan konvensional adalah pada 2018. 

Bagi simpanan shariah, ia adalah lebih tinggi berbanding dengan 5.9 peratus pada 2018. 

“Selepas mengambil kira keadan turun naik pasaran, KWSP telah menunjukkan prestasi yang baik,” katanya. 

Dalam pada itu, Mohd Afzanizam berkata jurang antara ramalan dividen terdahulu dan kadar sebenar yang diumumkan oleh KWSP mencerminkan peningkatan ringgit sebanyak 10.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2025, yang menjejaskan pulangan portfolio pelaburan global daripada perspektif perakaunan. 

Beliau berkata pelaburan domestik, yang merangkumi 61.7 peratus daripada jumlah aset pelaburan, turut terjejas oleh kenaikan 2.3 peratus yang agak sederhana dalam FBM KLCI berbanding pasaran utama global yang lain.  

Sehubungan itu, keputusan strategik untuk mengukuhkan pegangan dalam pelaburan global perlu dilakukan bagi meningkatkan kadar dividen pada masa akan datang. 

Mengenai profil pendapatan pelaburan KWSP, meskipun 38.3 peratus daripada jumlah aset telah disalurkan ke dalam pelaburan luar negara, ia menyumbang 50.4 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan. 

“Kami boleh melihat aliran seperti itu agak konsisten sejak beberapa tahun lepas apabila pendapatan pelaburan luar negara lebih tinggi walaupun menguasai bahagian yang lebih rendah dari segi peruntukan aset secara geografi,” kata Mohd Afzanizam.

Begitupun, Nungsari berkata pelaburan global menjana pulangan yang lebih kukuh berbanding peruntukan domestik. 

Mengikut kenyataan KWSP hari ini, ia memperuntukkan kira-kira 61.7 peratus pelaburannya ke pasaran tempatan dan 38.31 peratus ke pasaran global.

Pelaburan domestik menyumbang sebanyak 49.6 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, manakala pelaburan global menyumbang sebanyak 50.4 peratus.  

Nungsari berkata, ini menunjukkan bahawa pasaran global memberikan pulangan yang lebih tinggi,” katanya. 

Beliau juga berkata ini menunjukkan keperluan untuk mengukuhkan daya tarikan pasaran domestik sambil mengiktiraf risiko pendedahan global. 

“Ini menunjukkan dua perkara - ekuiti domestik mesti lebih menarik. Dan pendapatan KWSP adalah sensitif kepada pasaran ekuiti global,” katanya. 

Sebaliknya, Nungsari berkata dividen itu juga boleh menggalakkan sumbangan sukarela yang lebih tinggi dan mengukuhkan kecukupan persaraan. 

“Orang ramai mesti faham bahawa mendapat enam peratus adalah sangat bagus dan percayalah kepada KWSP dan bukannya mana-mana penipu yang menjanjikan pulangan balik dua digit,” katanya. 

Mengenai prospek, Nungsari berkata pelonggaran monetari global dan risiko luaran akan mempengaruhi prestasi masa depan KWSP, menjejaskan bahagian pendapatan tetap portfolionya.

Pengerusi KRI itu menambah beliau lebih bimbang mengenai ketidakpastian perdagangan dan politik berbanding dasar monetari yang lebih akomodatif.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan