Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen
JOHOR BAHRU, 1 Mac (Bernama) -- Syarikat pengeluar dan pengeksport nanas, Aqina Fruits Sdn Bhd merekodkan lonjakan nilai eksport hampir empat kali ganda kepada RM2.68 juta pada tahun lepas berbanding RM628,000 pada 2024.
Peningkatan itu turut disokong pertumbuhan ketara kuantiti eksport yang melonjak kepada 690 tan metrik daripada 172 tan metrik dalam tempoh setahun.
Pengarah Aqina Fruits Wesley Tan Seah Ging berkata setakat Disember tahun lepas, syarikat itu telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa di China, Jepun, Bahrain, Iraq dan Oman.
“Eksport terbesar buah segar adalah ke China, diikuti dengan negara timur tengah iaitu Bahrain dan Iraq,” katanya kepada Bernama.
Selain eksport nanas segar, beliau berkata syarikat beribu pejabat di Pontian itu turut memperkukuh pertumbuhan menerusi produk hiliran berasaskan nanas di bawah jenama Ananas Republic seperti snek nanas kering dan kerepek nanas.
Produk berkenaan diperbuat daripada 100 peratus nanas varieti MD2 serta menggunakan teknologi pengeringan beku vakum tanpa pengawet, gula atau bahan tambahan.
“Kepelbagaian produk seperti ini dapat memastikan kesinambungan permintaan pasaran eksport kami sentiasa berterusan,” katanya.
Aqina Fruits turut memiliki sijil GLOBALG.A.P yang merupakan satu keperluan untuk mengeksport buah nanas segar ke negara-negara eropah.
Dari segi pasaran, Wesley berkata sebanyak 40 peratus jualan syarikat tertumpu kepada pasaran eksport manakala baki 60 peratus bagi pasaran tempatan.
“Setakat Disember lepas, keseluruhan projek tanaman MD2 Aqina Fruits adalah mencapai keluasan 445.16 hektar (1,100 ekar) dengan hasilnya dapat membantu memenuhi eksport buah segar yang semakin meningkat,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, sebagai pemain aktif dalam industri nanas negara, syarikat akan sentiasa memastikan hasil tanaman berada pada kualiti terbaik bagi menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.
Aqina Fruits juga akan terus menambah baik operasi ladang dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi moden termasuk menggunakan baja control released fertilizer, Kecerdasan Buatan (AI) dan automasi.
Antara sasaran utama syarikat adalah mengurangkan kebergantungan tenaga kerja sehingga 60 peratus melalui penggunaan teknologi dan input pertanian yang lebih cekap.
Aqina Fruits yang merupakan antara pengeksport utama nanas Malaysia, turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Nanas 2025 sempena Hari Nanas Malaysia 2025, yang merupakan pengiktirafan terhadap kepimpinan, inovasi dan impak positif syarikat itu dalam sektor agromakanan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial