KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Nilai ringgit terus meningkat sebanyak 4.31 peratus kepada RM3.89 berbanding dolar AS setakat 1 Mac 2026, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata pengukuhan ringgit mencerminkan asas domestik yang kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 pada 5.2 peratus mengatasi unjuran asal.
“Pertumbuhan ini disokong pengembangan merentasi sektor, khususnya perkhidmatan dan pembuatan dengan permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama ekonomi,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.
Dari segi perkembangan global, katanya penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat serta jangkaan persekitaran kadar faedah yang lebih rendah dalam kalangan ekonomi utama dunia menyokong pengukuhan nilai ringgit.
“Keadaan ini turut dipacu sentimen pelabur yang positif, persekitaran perdagangan dunia yang berkembang serta aliran pelaburan portfolio dan pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata komitmen ditunjukkan kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan telah meyakinkan pelabur dan memacu pertumbuhan ekonomi.
“Pertumbuhan KDNK suku keempat 2025 mencatat 6.3 peratus, tertinggi bagi tempoh tiga tahun dan mengatasi anggaran awalan.
“Ini mendorong pertumbuhan KDNK keseluruhan 2025 pada 5.2 peratus (2024: 5.1 peratus), sekali gus melepasi unjuran rasmi kerajaan antara 4 dan 4.8 peratus,” katanya.
Beliau berkata dengan politik yang stabil, dasar ekonomi dapat dilaksanakan dengan jelas dan berkesinambungan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial