KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Maxis Bhd dianugerahkan gelaran ‘Ikon Transformasi Rangkaian Prestasi’ oleh penerbitan telekomunikasi antarabangsa, The Fast Mode, menerusi program anugerah 2025.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat telekomunikasi itu menjelaskan pengiktirafan tersebut membuktikan usaha berterusan Maxis bagi mempertingkatkan infrastruktur rangkaian serta mengukuhkan komitmen untuk menyediakan kesalinghubungan yang pantas, diyakini dan selamat untuk semua rakyat Malaysia.
“Anugerah ini mengiktiraf pemodenan Teras Paket Berevolusi (EPC) Maxis, yang menguruskan semua trafik data antara peranti pengguna dan rangkaian luaran.
“Migrasi kepada seni bina modular yang natif-awan ini menyediakan reka bentuk fleksibel yang menyingkirkan titik kegagalan tunggal,” jelasnya.
Maxis memaklumkan infrastruktur yang dinaik taraf itu menyokong keupayaan automatik untuk meningkatkan pengalaman rangkaian.
Perkara itu termasuk naik taraf perisian tanpa gangguan perkhidmatan, penskalaan sumber masa nyata, dan pengutamaan aplikasi Over-The-Top (OTT) untuk menguruskan permintaan trafik dengan berkesan, menurutnya.
“Transformasi ini telah menghasilkan rangkaian teras yang lebih berskala dan berdaya tahan, membolehkan naik taraf dan pelancaran perkhidmatan tanpa mengganggu kesalinghubungan. Ini memastikan kebolehpercayaan rangkaian yang konsisten dan pengalaman pengguna yang lebih mantap,” tambahnya.
Ketua Pegawai Rangkaian Maxis Yap Chee Sun berkata pihaknya berbesar hati dengan pengiktirafan itu, yang menjadi motivasi untuk terus menambah baik rangkaian Maxis seiring dengan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan digital.
“Selaras dengan kepercayaan kami bahawa ‘Esok Bermula Hari Ini’ kami kekal komited untuk menyediakan rangkaian yang konsisten dan boleh dipercayai, menghubungkan detik-detik penting bagi rakyat, perniagaan dan negara,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Menurut Maxis, teras yang dimodenkan itu juga dilengkapi dengan integrasi Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) Terbuka, membolehkan pihaknya bekerjasama dengan penyedia pihak ketiga untuk membangunkan perkhidmatan digital baharu merentasi pelbagai industri.
Anugerah The Fast Mode 2025 telah disampaikan dalam satu majlis yang diadakan di sini, baru-baru ini, dipilih daripada lebih 300 pencalonan yang dinilai oleh panel pakar industri global.
“Secara khususnya, kategori ‘Prestasi’ menilai kejayaan sesebuah syarikat telekomunikasi dalam melaksanakan program rangkaian yang kompleks, termasuk kekuatan dalam strategi, perancangan dan kepakaran teknikal,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial