EKONOMI > BERITA

BNM DIJANGKA KEKALKAN OPR PADA 2.75 PERATUS

02/03/2026 05:17 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 2 (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus apabila Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bermesyuarat pada Khamis ini, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan pada 2025 meskipun menghadapi ketidaktentuan tarif dan diunjurkan mengekalkan prestasi pada tahun ini.

“Setakat ini, jumlah pinjaman terus berkembang, meningkat sebanyak 4.7 peratus pada Januari 2026, walaupun pada kadar yang lebih perlahan berbanding 4.8 peratus pada bulan sebelumnya.

“Pinjaman kepada sektor isi rumah kekal pada 5.3 peratus bagi dua bulan berturut-turut, manakala pertumbuhan pembiayaan kepada sektor bukan isi rumah menjadi sederhana kepada 3.8 peratus pada Januari 2026 berbanding 4.1 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya kepada Bernama.

Oleh yang demikian, Mohd Afzanizam berkata aktiviti pemberian pinjaman dalam sektor perbankan kekal stabil, dengan nisbah pinjaman susut nilai kasar kekal rendah pada 1.40 peratus pada Januari 2026 berbanding 1.46 peratus pada Januari 2025.

“Dalam konteks ini, kos pinjaman semasa masih menyokong sektor perbankan,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, risiko yang timbul ekoran peristiwa terbaru susulan serangan ketenteraan bersama oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran memerlukan pendekatan yang lebih berhati-hati.

“Konflik itu nampaknya mungkin berlarutan, dan penutupan Selat Hormuz berpotensi mendorong harga minyak meningkat dengan ketara.

“Pada pandangan saya, BNM berkemungkinan memantau perkembangan risiko berikutan peristiwa ini dan kesan susulan terhadap sektor sebenar,” katanya.

Beliau berkata bank pusat juga akan memantau sentimen perniagaan serta tindakan balas komuniti perniagaan terhadap risiko semasa.

“Menerusi pejabat wilayah seluruh Malaysia, BNM sewajarnya memperoleh gambaran yang lebih jelas mengenai perkembangan sentimen perniagaan susulan konflik di Timur Tengah,” katanya.

BNM telah mengekalkan OPR pada 2.75 peratus sejak Julai 2025.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan