KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Pengeluar automotif yang beroperasi di Malaysia digesa meningkatkan penggunaan komponen serta perkhidmatan tempatan dengan melibatkan vendor tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan global mereka.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata Malaysia berharap lebih banyak syarikat tempatan dapat mengambil bahagian dalam rantaian bekalan automotif ketika pengeluar global terus memperluas kehadiran mereka di negara ini.
“Keberhasilan sebenar bukan sekadar diukur melalui jumlah jualan, tetapi juga pembangunan kandungan tempatan. Kita mahu melihat vendor Malaysia dan PKS disepadukan dalam rantaian bekalan global anda,” katanya pada majlis pelancaran Jaecoo J5 di sini hari ini.
Beliau menggesa pengeluar automotif menyokong pertumbuhan ekosistem automotif negara melalui pemindahan teknologi, pembangunan bakat serta peningkatan perolehan komponen daripada pembekal tempatan.
Pengeluar juga perlu berkongsi kepakaran dengan pengeluar komponen tempatan bagi membantu mereka muncul sebagai pembekal global, di samping melabur dalam latihan untuk jurutera dan juruteknik Malaysia supaya mampu mengendalikan teknologi automotif yang semakin canggih.
“Apabila vendor tempatan berkembang, keseluruhan ekosistem akan menjadi lebih berdaya saing dan pada masa sama memberi manfaat kepada syarikat melalui pangkalan operasi global yang lebih cekap serta kos yang lebih efektif,” katanya.
Seruan itu dibuat ketika pemain automotif global terus memperluas kehadiran mereka di Malaysia, dengan sektor berkenaan menerima manfaat daripada peningkatan pelaburan dalam pembuatan, rantaian bekalan serta penyelidikan dan pembangunan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial