EKONOMI > BERITA

HARGA MINYAK BOLEH CECAH TIGA DIGIT JIKA KONFLIK TIMUR TENGAH BERLARUTAN – RYSTAD ENERGY

05/03/2026 11:36 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Harga minyak boleh melonjak ke paras tiga digit sekiranya konflik di Timur Tengah berlarutan, kata firma penyelidikan tenaga global, Rystad Energy.

Ketua Penyelidikan Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) Rystad Energy Aditya Saraswat berkata pasaran berada dalam keadaan sangat tidak menentu apabila pedagang bertindak balas terhadap peningkatan ketegangan terkini di Timur Tengah. 

“Jika konflik ini berlarutan, harga minyak menjadi tiga digit adalah satu kemungkinan yang sangat nyata,” katanya dalam kemas kini mengenai keadaan pasaran hari ini. 

Saraswat berkata kebimbangan sebelum ini tertumpu kepada sama ada bekalan tenaga boleh bergerak menerusi rantau ini, bagaimanapun serangan dron terbaharu telah meningkatkan risiko kepada infrastruktur tenaga di seluruh Timur Tengah dengan ketara. 

Beliau berkata kesan daripada peningkatan itu sudah merebak ke pelbagai sektor, daripada pusat data kepada pengguna yang akhirnya akan merasai kesannya menerusi harga bahan api yang lebih tinggi. 

Katanya, sekiranya konflik itu berterusan, penutupan sebagai langkah berjaga-jaga di seluruh rantau ini mungkin akan berlaku, sekali gus memberi implikasi serius kepada pasaran minyak global. 

“Jika gangguan bermula di Iraq, risikonya ialah ia akan merebak ke pengeluar utama lain seperti Kuwait, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar,” katanya. 

Mengenai gas pula, Saraswat berkata gangguan sudah pun berlaku, dengan Qatar telah menghentikan kira-kira 77 juta tan kapasiti gas asli cecair (LNG) setahun. 

“Sekiranya keadaan menjadi lebih buruk, terdapat risiko bahawa UAE boleh menghadapi gangguan yang sama,” tambahnya. 

Ketika ini, mentah Brent melonjak 2.84 peratus kepada US$83.71 setong. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan