EKONOMI > BERITA

KERAJAAN TINGKAT PERUNTUKAN BAGI PEMBANGUNAN INDUSTRI LADA DI BAWAH RMK13 - NORAINI

09/03/2026 11:09 AM

BATU PAHAT, 9 Mac (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi meningkatkan peruntukan bagi pembangunan industri lada kepada RM45.8 juta pada 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berbanding RM21.4 juta pada tahun lepas.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata peningkatan itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap potensi industri lada sebagai subsektor pertanian bernilai tinggi yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Sebanyak 10 projek pembangunan strategik akan dilaksanakan merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri lada daripada sektor huluan seperti penanaman, peningkatan produktiviti dan pengurusan ladang hingga pembangunan sektor hiliran termasuk pemprosesan, inovasi produk dan pengembangan pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Perladangan dan Komoditi di sini malam tadi.

Katanya pekebun kecil akan menerima manfaat secara langsung melalui pelbagai inisiatif pembangunan industri termasuk bantuan pembangunan kawasan tanaman baharu, pengurusan kebun lada matang serta penggunaan teknologi dan amalan pertanian moden.

“Selain itu, usaha turut memberi tumpuan kepada pengurangan kos pengeluaran melalui pembangunan input alternatif dan sokongan teknikal kepada pekebun,” katanya.

Noraini berkata pelaksanaan itu juga dijangka membuka peluang meningkatkan pendapatan menerusi pengembangan industri hiliran dan pembangunan produk dengan nilai tambah berasaskan lada.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan