KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih ekuiti di Bursa Malaysia minggu lepas, mengakhiri aliran jualan bersih selama dua minggu berturut-turut dan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM411.4 juta.
Menurut MBSB Investment Bank Bhd dalam laporan aliran dananya pada minggu berakhir 6 Mac, pelabur asing merupakan pembeli bersih pada empat daripada lima hari dagangan.
Aliran masuk tertinggi dicatatkan pada Isnin sebanyak RM271.1 juta, diikuti Jumaat (RM192.3 juta), Khamis (RM158.6 juta) dan Selasa (RM13.1 juta).
Aliran keluar hanya dicatatkan pada Rabu sebanyak RM223.7 juta, menurut bank pelaburan itu.
“Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah pengangkutan dan logistik sebanyak RM207.3 juta, penjagaan kesihatan (RM183 juta) serta produk perindustrian dan perkhidmatan (RM180 juta).
“Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah telekomunikasi dan media (RM88.5 juta), perladangan (RM87.8 juta) dan hartanah (RM62 juta),” katanya.
Sebaliknya, institusi tempatan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM408.3 juta, meneruskan aliran jualan bersih mereka kepada lima minggu berturut-turut.
Peruncit tempatan kembali menjadi penjual bersih sepanjang minggu tersebut, mengakhiri aliran belian bersih selama dua minggu dengan aliran keluar bersih sebanyak RM3.1 juta.
“Purata jumlah dagangan harian menyaksikan peningkatan menyeluruh, dengan peruncit tempatan meningkat 18.9 peratus, institusi tempatan (18.3 peratus) manakala pelabur asing merosot 14.6 peratus,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial