KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Malaysia berada pada kedudukan baik bagi menangani impak ekonomi susulan konflik di Timur Tengah, termasuk sokongan daripada status negara sebagai pengeksport bersih tenaga selain mempunyai asas-asas ekonomi yang kukuh.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kedudukan negara sebagai pengeksport bersih tenaga juga menjadi penampan terhadap ketidaktentuan pasaran minyak global walaupun dalam senario perkembangan geopolitik yang berkemungkinan melonjakkan harga minyak mentah.
“Sehubungan itu secara asasnya, adalah penting untuk mengakui (kedudukan) Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga. Bersandarkan keadaan itu, kita mempunyai beberapa manfaat positif yang membolehkan kita keluar daripada (cabaran) ini,” katanya selepas majlis pelancaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (CMP) di sini, hari ini.
Pelancaran pelan berkenaan telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.
Mengulas selanjutnya, Amir Hamzah berkata kerajaan bagaimanapun kekal berwaspada terhadap implikasi domestik susulan peningkatan harga tenaga, khususnya dari segi kos sara hidup rakyat.
Kerajaan juga, katanya, telah bertindak menguruskan potensi impak terbabit menerusi pendekatan seperti pelaksanaan subsidi bersasar sejak dua tahun lepas, sekali gus membolehkan peningkatan kos berkaitan diserap secara beransur-ansur oleh sistem dan pada masa sama dapat menjamin kemampanan fiskal.
“Sejak dua tahun lepas, kita meperuntukan banyak masa bagi melaksanakan subsidi. Menerusinya, kita berjaya melaksanakan beberapa mekanisme pemindahan kos kepada sistem yang membolehkan usaha mengurus impak terhadap kedudukan fiskal kerajaan dilakukan dengan lebih baik.
“Pada masa sama, keutamaan segera kerajaan adalah memastikan kestabilan bekalan bahan api di negara ini, khususnya gas dan petrol,” katanya.
Amir Hamzah berkata Malaysia juga terus menikmati bekalan gas yang stabil sejajar kedudukan sebagai pengeluar dan juga pengeksport dengan kapasiti mencukupi bagi menyokong penggunaan domestik melalui rangkaian saluran paip pembekalan utiliti serta pengguna industri.
Beliau berkata bekalan bekalan petrol dalam negara juga adalah memadai dengan paras simpanan semasa di paras wajar.
“Berikutan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport dan pengeluar bersih, kita mempunyai bekalan yang amat baik dan stabil bagi pelanggan utiliti serta industri.
“Kita juga merupakan pengeluar bahan api dalam negara dan ini memberi sedikit keanjalan untuk mengharunginya,” katanya.
Antara usaha membantu pengguna daripada ketidaktentuan yang berlaku, Perdana Menteri juga telah menyatakan bahawa kerajaan akan mengekalkan harga subsidi petrol RON95 bagi tempoh dua bulan akan datang.
Jelas Amir Hamzah, langkah itu bertujuan melindungi orang ramai daripada kejutan harga ketika kerajaan terus memantau perkembangan di Timur Tengah.
“Harga akan disalurkan menerusi sistem, namun memandangkan kita mempunyai kapasiti untuk menguruskannya, impak terhadap rakyat dapat dikendalikan dengan cara ini,” katanya.
Amir Hamzah berkata daya tahan ekonomi Malaysia juga mendapat sokongan seterusnya daripada momentum pertumbuhan kukuh tahun ini yang menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada 5.2 peratus dalam tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial