Oleh Mohamad Syazwan Mustafa
JOHOR BAHRU, 10 Mac (Bernama) -- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem baharu dalam sektor pembuatan termaju semikonduktor di Johor menerusi kemasukan sebuah syarikat peneraju industri atau “queen bee” dalam masa terdekat.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kehadiran “queen bee” lazimnya akan membawa bersama keseluruhan rantaian ekosistem sektor berkenaan sekali gus berpotensi mencipta lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi dan memperkukuh rantaian ekosistem industri.
“Apabila datang ke Johor, ‘queen bee’ ini akan membawa keseluruhan ekosistem dan akan membantu kita menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan. Perkara yang lebih menggembirakan saya adalah apabila syarikat yang terlibat ini masuk, mereka menawarkan gaji premium,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di Saujana, Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor di sini baru-baru ini.
Onn Hafiz berkata terdapat juga syarikat dalam sektor semikonduktor yang menawarkan gaji antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan kepada pekerja berpengalaman sekali gus mencerminkan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja mahir dalam industri tersebut.
Beliau berkata meskipun pekerjaan dalam sektor itu menuntut tahap produktiviti yang tinggi namun, pekerja tetap berpuas hati kerana gaji yang ditawarkan adalah tinggi dan premium, dan perkara itu memberikan manfaat ekonomi yang signifikan kepada tenaga kerja tempatan.
“Kita juga menyasarkan syarikat dalam sektor pengkomputeran serta teknologi maklumat (IT). Sektor ini juga menawarkan gaji yang lumayan kepada rakyat, yang menjadi sasaran kerajaan negeri. Ini mendapat sambutan yang baik daripada kalangan pelabur yang ingin masuk ke Johor,” katanya.
JS-SEZ, dengan perjanjiannya dimeterai pada Januari 2025, kini merangkumi kawasan pembangunan Iskandar, Forest City, Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang dan Desaru dengan keluasan tanah 357,128 hektar.
Wilayah pembangunan Iskandar turut meliputi Pusat Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai, dan Sedenak.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) telah menerima lebih 1,000 pertanyaan yang menyatakan minat untuk melabur di JS-SEZ merangkumi sektor pembuatan, pelancongan, pusat data dan semikonduktor.
“Berkaitan aspek peluang pekerjaan, kita kini menyasarkan kira-kira 80,000 pekerjaan. Dari segi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terdapat ratusan syarikat yang mendapat manfaat daripada pelaburan dan pelabur yang masuk ke negeri Johor.
“Ini adalah perkara yang kita terus usahakan, dan ini hanyalah permulaan. Banyak lagi usaha yang kita perlu laksanakan supaya asas JS-SEZ semakin kukuh. Antara perkara utama adalah untuk memastikan bakat yang mencukupi dan memudah cara perkara untuk menjalankan perniagaaan,” katanya.
Onn Hafiz berkata bagi memenuhi permintaan industri, langkah ke arah penyediaan tenaga kerja mahir menjadi antara keutamaan kerajaan negeri ketika ini termasuk program kemahiran tambahan dan kemahiran baharu golongan belia antaranya dengan memperkenalkan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).
Beliau berkata usaha lain yang turut dilaksanakan bagi memperkasakan sektor pendidikan negeri termasuk pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor, kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan menaik taraf kolej vokasional di Johor.
“Kalau kita bercakap soal kegemilangan Johor, sekaranglah masanya. Inilah kali pertama (Johor rekod pelaburan terbesar), kerana sebelum ini, kita sentiasa di belakang Selangor dan Wilayah Persekutuan,” katanya.
Johor mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi di Malaysia bagi 2025 dengan nilai RM110 bilion sekali gus merupakan rekod tertinggi pernah dicapai oleh mana-mana negeri.
Onn Hafiz berkata pendekatan berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kestabilan, tadbir urus yang baik dan mesra pelabur telah memberi keyakinan kepada pelabur untuk menubuhkan operasi di Johor sekali gus mewujudkan “third-party validation” dalam kalangan mereka yang mencari peluang di JS-SEZ.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial