KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Status Malaysia sebagai pengeluar minyak dan pendapatan yang dijana daripada sektor itu membantu kerajaan melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga tenaga, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata kenaikan harga minyak dunia meningkatkan pendapatan negara daripada industri minyak.
Katanya sebagai contoh, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) meluluskan dividen kira-kira RM32 bilion bagi tahun kewangan 2025 manakala kira-kira RM20 bilion pada 2026.
“Ya, memang ada kesan apabila harga minyak dunia meningkat. Kos pengangkutan dan barangan di seluruh dunia juga naik.
“Rakyat akan merasainya tetapi ada satu kelebihan (sebagai pengeluar minyak) yang membantu negara untuk mengurangkan kesan kepada rakyat,” katanya menerusi perkongsian di media sosial milik beliau pada Selasa.
Beliau berkata pada tahun lepas, Malaysia telah menghasilkan kira-kira 184 juta tong minyak mentah dan kondensat.
Tengku Zafrul berkata di Malaysia, harga RON95 untuk rakyat yang layak masih RM1.99 seliter melalui BUDI95.
“Walaupun harga tanpa subsidi lebih tinggi, kerajaan juga melaksanakan subsidi bersasar supaya bantuan sampai kepada rakyat yang memerlukan dan mengurangkan ketirisan.
“Yang penting rakyat faham apabila harga minyak dunia naik, banyak negara hanya menanggung kos yang lebih tinggi.
“Malaysia berbeza. Kita bukan sekadar membeli minyak, kita juga menghasilkannya. Kekuatan itu kita gunakan untuk melindungi rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial