KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kargo udara berperanan penting dalam menghubungkan perniagaan ke pasaran global dan memastikan pergerakan rantaian bekalan, walaupun persekitaran operasi menjadi semakin kompleks, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Kargo Global IATA Brendan Sullivan berkata amat penting bagi industri untuk membina daya tahan dalam bidang yang boleh dikawal atau dipengaruhi di tengah-tengah peristiwa luaran yang menjejaskan rantaian bekalan global, termasuk tarif dan kejutan geopolitik.
“Bekerjasama bagi mengukuhkan pendigitalan, piawaian global dan keselamatan rantaian bekalan akan meletakkan kargo udara dalam kedudukan yang baik untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi dengan menghubungkan produk ke pasaran,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan Simposium Kargo Dunia IATA (WCS) di Lima, Peru.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, IATA berkata kargo udara telah membolehkan pengagihan import Amerika Syarikat (AS) sebanyak US$157 bilion (US$1=RM3.92) pada suku pertama 2025, dan ia mengangkut lebih dua pertiga barangan berkaitan kecerdasan buatan (AI) global.
Katanya, kesemua aktiviti itu menyokong pertumbuhan perdagangan global sebanyak 2.4 peratus pada 2025, iaitu jauh melebihi unjuran awal oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia, dan mengembangkan keluaran dalam negara kasar global sebanyak 3.2 peratus walaupun berdepan halangan dasar yang ketara.
“Pada 2025, purata kadar tarif yang dikenakan oleh AS naik kepada sekitar 17 peratus, dengan perubahan dasar sering berlaku dan peningkatan pertikaian perdagangan.
“Oleh itu, kebanyakan syarikat menggunakan kargo udara bagi mengatasi tarif dengan mempercepatkan penghantaran,” kata IATA.
Ketua Analisis Industri IATA Julia Seiermann berkata kargo udara merupakan komponen struktur daya tahan ekonomi global.
“Pada 2025, ia membantu perniagaan menyerap kejutan tarif, membolehkan penstrukturan semula perdagangan yang pesat dan menyokong kemajuan pelaburan AI, sekali gus membantu mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dalam tahun yang mencabar,” kata Seiermann.
Pada suku pertama 2025, persatuan itu berkata import AS meningkat sebanyak US$193 bilion tahun ke tahun, atau peningkatan 26 peratus, sementara nilai import menerusi udara dalam suku tersebut naik 81 peratus tahun ke tahun, berjumlah US$157 bilion.
Ketika pelaburan AI melonjak pada 2025, IATA berkata kargo udara menghantar peralatan bernilai tinggi dan sensitif masa seperti pelayan, unit penstoran data, dan cip memori dengan cekap dan boleh dipercayai.
“Peningkatan permintaan bagi barangan berkaitan AI pada 2025 berjaya dipenuhi hasil daripada kargo udara, yang membolehkan pelaburan diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi dan bukannya dihalang oleh isu logistik.
“Memandangkan ekonomi semakin bergantung secara strategik kepada barangan teknologi bernilai tinggi, kargo udara akan terus berperanan penting dalam memastikan penghantaran tepat pada masanya,” kata Seiermann.
Menurut IATA, konsainan kargo udara bagi barangan berkaitan AI meningkat sebanyak 20 peratus tahun ke tahun, dan barangan berkaitan AI menyumbang 53.5 peratus daripada jumlah nilai perdagangan pengangkutan udara, sambil mewakili hanya tujuh peratus daripada jumlahnya, yang menonjolkan kepadatan nilai tinggi segmen itu dan kepentingan strategik untuk industri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial