KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji kesan konflik Amerika Syarikat (AS)–Iran terhadap ekonomi negara susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang akan membuat penilaian bersama Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan menteri lain yang berkaitan.
“Jawatankuasa tersebut akan menilai isu berkaitan impak ekonomi pada setiap hari supaya dapat dimaklumkan kepada pimpinan kerajaan,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan pada sidang media khas di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau turut memberi jaminan bahawa bekalan minyak di Malaysia adalah terkawal walaupun konflik di rantau itu berpotensi menjejaskan pasaran tenaga global.
“Bekalan produk petroleum di negara ini mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026.
“Kerajaan juga sentiasa memantau perkembangan semasa dan berikhtiar melindungi kepentingan rakyat Malaysia, menjamin kestabilan ekonomi negara dan menyokong segala usaha ke arah keamanan serta penyelesaian diplomatik terhadap konflik yang berlaku,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial