EKONOMI > BERITA

UNTUNG BERSIH ECO WORLD SUKU PERTAMA NAIK KEPADA RM156.41 JUTA SUSULAN JUALAN KUKUH

13/03/2026 08:03 AM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Pemaju hartanah Eco World Development Group Bhd (Eco World) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM156.41 juta bagi tempoh suku pertama yang berakhir 31 Jan, 2026 daripada RM80.34 juta pada suku pertama tahun sebelumnya.

Perolehan bagi suku yang sedang dinilai meningkat sebanyak 150.8 peratus kepada RM1.35 bilion daripada RM539.63 juta sebelumnya, dipacu oleh penyelesaian jualan tanah industri.

"Pada suku pertama bagi tahun kewangan 2026, kumpulan ini telah menyelesaikan jualan 56.06 hektar tanah industri yang terletak di dalam Eco Business Park I di Iskandar Malaysia, Johor serta 23.55 hektar tanah industri di Eco Business Park V di Selangor.

"Projek-projek lain yang menyumbang kepada pertumbuhan termasuk Eco Botanic, Eco Botanic 2, Eco Spring, Eco Tropics, Eco Business Park I, Eco Business Park III dan Eco Business Park VI di Wilayah Selatan serta Eco Majestic, Eco Forest, Eco Sanctuary dan Paragon Pinnacle di Wilayah Tengah," kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Datuk Chang Khim Wah berkata prestasi jualan yang melebihi jangkaan ini menjadi bukti kepada peningkatan keterlibatan pasaran yang dicapai oleh semua saluran pendapatan kumpulan tersebut.

Beliau berkata, pertumbuhan dalam jualan juga membolehkan Eco World untuk memberikan perkhidmatan secara menyeluruh kepada pembeli di setiap segmen pasaran.

"Keunggulan daya saing utama ini diperoleh melalui penciptaan nilai yang berterusan, pembinaan komuniti dan perancangan tempat yang dirancang selama bertahun-tahun yang mengambil kira dengan teliti keperluan gaya hidup, aspirasi dan keperluan perniagaan pelanggan kami di setiap projek individu," katanya.

Chang berkata, melangkah ke hadapan, pemaju hartanah itu kekal optimis mengenai prospek masa depannya dan kekuatan permintaan asas untuk projek dan produk mereka.

"Namun, kami mengakui ketidaktentuan yang mungkin dihadapi pada masa depan akibat krisis Asia Barat yang berterusan, perang tarif yang belum selesai dan cabaran global lainnya.

"Sehubungan itu, kami akan terus berhati-hati dalam membuat pelaburan masa hadapan, meneruskan pelaksanaan langkah-langkah penjimatan kos dan mengamalkan disiplin kewangan yang tinggi dalam operasi kami," tambahnya.

Eco World turut mengisytiharkan dividen interim pertama yang lebih tinggi iaitu sebanyak 2.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Okt, 2026 yang akan dibayar pada 13 April, 2026.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan