ISKANDAR PUTERI, 14 Mac (Bernama) -- Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Cheah Fah melancarkan fasa kedua pengembangannya, susulan sumbangan RM23 juta daripada Kumpulan Sunway (Sunway), bagi menampung peningkatan pendaftaran pelajar seiring dengan pembangunan di koridor selatan Johor.
Sekolah rendah yang dibuka pada tahun 2022, hasil peruntukan RM18 juta daripada Kumpulan Sunway dan Yayasan Jeffrey Cheah, merupakan sekolah jenis kebangsaan cina pertama daripada 10 sekolah yang diluluskan di bawah peruntukan kerajaan negeri Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway City Iskandar Puteri Gerard Soosay berkata pengembangan tersebut menunjukkan permintaan yang semakin meningkat bagi pendidikan berkualiti apabila perbandaran menjadi matang, sekali gus menjadi komuniti berorientasikan keluarga.
“Pendidikan kekal sebagai laluan paling ampuh untuk keluar daripada kemiskinan dan asas yang kukuh bagi pergerakan sosial.
“Pengembangan ini memastikan kapasiti persekolahan awam berkembang seiring dengan pertumbuhan populasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika ini, sekolah tersebut mempunyai lebih 820 murid, hampir mencecah kapasiti sedia ada seramai 1,000 murid.
Projek itu akan menambah 12 bilik darjah, sekali gus meningkatkan kapasiti kepada 1,500 murid, dan pembesaran ruang kantin yang mampu memuatkan semua pelajar serentak.
Reka bentuknya juga disesuaikan dengan perubahan dasar pada masa depan, termasuk langkah kerajaan membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun untuk memasuki tahun satu.
Sementara itu, sehingga kini, Sunway telah melabur sebanyak RM23 juta di sekolah tersebut, termasuk RM5 juta yang dijanjikan dalam majlis jamuan makan makan pengumpulan dana pada 2025, yang berjaya meraih RM1 juta dana daripada lebih 900 penderma.
Menurut Sunway, pembinaan akan diteruskan tanpa menjejaskan pembelajaran dan ia dijadualkan siap menjelang akhir tahun, di tengah-tengah pembaharuan momentum di Johor daripada pelaburan perindustrian, aktiviti rentas sempadan dan permintaan kediaman yang semakin meningkat.
Kampus yang diperluaskan itu juga dijangka mengukuhkan kedudukan Sunway City Iskandar Puteri sebagai perbandaran berfokuskan keluarga dengan tumpuan kepada pendidikan, sambil mencerminkan komitmen jangka panjang Sunway terhadap sekolah jenis kebangsaan.
SJK (C) Cheah Fah merupakan salah satu daripada lapan sekolah di seluruh negara yang menjadi sekolah angkat Sunway dan Yayasan Jeffrey Cheah, iaitu perusahaan sosial yang berfokuskan pendidikan terbesar di Malaysia.
Setakat ini, yayasan itu dan Sunway telah menyumbang lebih RM62 juta kepada kesemua sekolah terlibat dan menganugerahkan lebih RM967 juta biasiswa dan geran kepada ribuan pelajar di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial