EKONOMI > BERITA

PROJEK ECRL CAPAI KEMAJUAN PEMBINAAN 92.62 PERATUS SETAKAT FEB 2026 - AMIR HAMZAH

16/03/2026 10:06 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 92.62 peratus setakat Februari 2026, selari dengan jadual penyiapan jajaran Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor menjelang akhir tahun ini seterusnya beroperasi secara komersial bermula Januari 2027. 

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang di Selangor pula akan siap menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.

Beliau berkata pengoperasian komersial tren elektrik Pelbagai Gerabak  (EMU) dan Lokomotif Elektrik (E-Loco) bakal membuka lembaran baharu dalam memperkukuh ECRL sebagai mod pengangkutan hijau untuk penumpang dan kargo, merentas rangkaian rel elektrik sepanjang 665 kilometer negeri-negeri Pantai Timur dan Selangor.

"Projek ECRL juga mencatatkan satu lagi pencapaian penting pada hari ini dengan selesainya pembinaan landasan jajaran utama ECRL sepanjang 519 kilometer dari Kota Bharu ke Gombak lebih awal daripada yang dijadualkan. 

"Pencapaian ini jelas mencerminkan dedikasi tinggi serta kerjasama erat antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd  dan China Communication Construction (CCC)-ECRL serta sokongan padu dari semua  pihak yang terlibat,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pemeteraian Perjanjian Pelantikan Penyelaras Utama Bersama (JLC) bagi Pengurusan Risiko Pertukaran Asing Projek ECRL dan penyempurnaan pembinaan landasan ECRL dari Kota Bharu ke Gombak di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak.

Amir Hamzah hari ini menyaksikan pemeteraian perjanjian JLC antara MRL dan lapan institusi perbankan, antaranya Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Bank Bhd dan RHB Bank Bhd, bagi mewujudkan mekanisme pengurusan risiko pertukaran asing yang melibatkan pembiayaan ECRL.

Beliau berkata penglibatan institusi kewangan terkemuka itu mencerminkan tahap keyakinan yang tinggi terhadap struktur kewangan projek ECRL serta keupayaan sistem perbankan negara dalam menyokong pembiayaan dan pengurusan risiko bagi projek infrastruktur strategik berskala besar. 

"Inisiatif ini turut memperkukuh aspek tadbir urus kewangan, ketelusan serta akauntabiliti dalam pelaksanaan projek, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap projek pembangunan negara dilaksanakan dengan tahap integriti dan disiplin fiskal yang tinggi.

"Pada masa sama, kejayaan pelaksanaan mekanisme pengurusan risiko kewangan seperti ini juga mencerminkan kematangan sistem kewangan Malaysia, yang mampu menyokong pembiayaan projek infrastruktur berskala besar melalui pendekatan yang profesional, telus dan berpandukan disiplin pasaran," katanya.

Dalam majlis sama, Amir Hamzah turut merasmikan penyempurnaan pembinaan landasan ECRL dari Kota Bharu ke Gombak yang merangkumi jajaran utama sepanjang 519 kilometer.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan